Friday, 22 April 2016

Perbandingan antara sistem pendidikan pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin dan zaman Kerajaan Abbasiyah serta sumbangan yang telah diberikan kepada dunia masa kini.

Pendidikan berperanan penting dalam membina tamadun manusia. Menerusi pendidikan, lahir para pemikir dan pelaksana yang membina dan mengembangkan tamadun. Tamadun satu bangsa tidak akan wujud seandainya sistem pendidikannya tidak mampu membina cendekiawan yang dapat menghasilkan pemikiran asli yang bernas untuk membina bangsanya. Sesuatu bangsa tidak akan maju sekiranya rakyatnya hanya bergantung kepada sistem pendidikan asing yang dipinjam dari luar. Oleh itu untuk membina tamadun bangsa melalui pendidikan, memerlukan pemikiran dan penilaian semula terhadap seluruh aspek pendidikan yang ada agar benar-benar sesuai berteraskan kehidupan dan budaya kita.[1]
Pendidikan Islam zaman Khulafa al-Rasyidin mewarisi pendidikan yang dicetuskan oleh Rasulullah s.a.w bermula dengan penurunan wahyu pertama di Gua Hira’. Penulis berpendapat sistem Talaqqi dan Musyafahah yang digambarkan melalui cara Rasulullah menerima sumber wahyu daripada Jibrail merupakan permulaan salah satu sistem pendidikan Islam yang cukup ideal untuk dipraktikkan dalam dunia pendidikan masa kini. Rasulullah mengajar al-Quran itu kepada para sahabat dan sahabat pula mengajarkan kepada para tabiin sehinggalah kepada kita hari ini menggunakan cara yang sama yang telah digunakan oleh Jibrail kepada Rasulullah iaitu secara Talaqqi dan Musyafahah. Sistem Pendidikan zaman Rasulullah telah diwarisi oleh para sahabat dan seterusnya diperkembangkan mengikut zaman berdasarkan kecekapan dan kreativiti pemerintahan khalifah masing-masing. Justeru, penulis akan mengupas perbahasan ini dengan lebih lanjut mengenai pendidikan Islam di zaman Khulafa al-Rasyidin dan zaman Kerajaan Abbasiyah.[2]
Sistem pendidikan pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin telah berkembang dengan baik. Ia memberi nafas baru bagi menyambung tradisi sistem pendidikan yang telah dilaksanakan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.. Pada zaman baginda, negara Islam berkembang meliputi Semenanjung Tanah Arab. Pendidikan hanya berpusat di kota Madinah tetapi perkembangan pendidikan semakin meluas dan berkembang pesat pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin. Pusat pendidikan tersebar di bandar besar seperti bandar Madinah dan Makkah, Basrah dan Kufa, Damsyik dan Palestin dan Madrasah Fustat. Tegasnya, penulis melihat pada zaman Khulafa al-Rasyidin masjid memainkan peranan penting sebagai institusi peribadatan, pendidikan, sosial, penghakiman dan pelbagai aktiviti yang memberikan  kemudahan kepada umat Islam. Melalui amalan peribadatan dan pendidikan yang dijalankan di masjid, ramai cendekiawan Islam dan ulama telah dapat dilahirkan. Masjid menjadi institusi pengajian yang melahirkan cerdik pandai Islam dalam setiap bidang kehidupan dan tempat menyemai dan menyuburkan iman.[3]
Pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, Kuttab lebih berfungsi sebagai institusi pendidikan sampingan bagi masjid setelah di dapati masjid terlalu ramai pelajar. Kanak-kanak dan orang yang baru masuk Islam diajar di institusi tersebut. Pada waktu pagi, kanak-kanak membaca dan menghafaz al-Quran. Manakala pada waktu tengah hari mereka belajar menulis, belajar solat bahasa dan sastera Arab. Pelajaran yang diajar pada peringkat Kuttab ialah belajar membaca dan menulis, membaca al-Quran dan menghafalnya serta belajar asas agama Islam seperti cara berwuduk, sembahyang, puasa dan sebagainya.[4] Khulafa al-Rasyidin adalah wakil-wakil atau khalifah-khalifah yang benar atau lurus. Mereka adalah pewaris kepemimpinan Rasulullah selepas kewafatan junjungan kita Nabi Muhammad S.a.w. Para tokoh ini merupakan orang-orang yang arif bijaksana, jujur dan adil dalam memberikan keputusan dan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam masyarakat.  Setelah Rasulullah wafat, peradaban Islam memberi contoh bagaimana cara mengendalikan negara dengan bijaksana (hikmat). Kebijaksanaan ini adalah politik yang mengandung hikmat, bergerak, berfikir, bertindak, berlaku dan berbuat, yang dalam istilah sekarang disebut taktik, strategi dam diplomasi yang berbau kelincahan dan kelicikan. Al-Quran dan Hadis telah menentukan batas-batas yang dibolehkan dan yang tidak, serta memberikan jalan untuk berfikir, bermusyawarah, dan bertindak.[5]
Masa Bani Abbasiyah merupakan puncak perkembangan ilmu pengetahuan dan ajaran Islam. Hal ini disebabkan Harun Al Rasyid memanfaatkan kekayaannya untuk membangun rumah sakit, untuk keperluan sosial, untuk mendirikan lembaga pendidikan kedoktoran, farmasi, ilmu astronomi, matematik, kritik sastera. Ilmu pengetahuan tidak hanya berkembang di Baghdad tetapi juga di Basrah, Jundabir, Kufah dan Harran. Pada masa kekuasaan al-Makmun banyak di datangkan penterjemah dari berbagai negara untuk menterjemahkan buku-buku yang menggunakan bahasa Yunani. Al-Makmun juga membangun beberapa sekolah. Karya besar Al-Makmun adalah membangun Baitul Hikmah yang digunakan sebagai perpustakaan besar dan perpustakaan umum yang disebut Darul Ilmi. Baitul Hikmah juga sebagai pusat penterjemahan buku-buku. Baitul Hikmah juga berfungsi sebagai perguruan tinggi yang memiliki banyak buku yang tidak dapat ditemukan di tempat lain. Sehingga banyak orang yang datang ke Baghdad untuk menimba ilmu.[6]
Pada masa Bani Abbasiyah banyak didirikan institusi pendidikan. Harun Al Rasyid mendirikan Baitul Hikmah sebagai pusat penterjemahan buku-buku asing dan pusat pengajian. Al-Makmun berhasil menjadikan Baghdad sebagai kota pusat pengetahuan yang ramai dikunjungi orang dari berbagai kota di dunia. Bani Saljuk dan perdana menteri Nizam Al-Muluk berhasil mendirikan madrasah Nizamiyyah sebagai institusi pendidikan tinggi di kota Naisabur. Pada masa ini juga banyak ditemui Kuttab dan tempat pengajian umum, perpustakaan, mahupun kedai-kedai buku d sekitar Baghdad.[7]
Ramai para sahabat telah terkorban semasa menghadapi peperangan dengan golongan al- Riddah. Ini berkemungkinan akan terhapus al-Quran dan berlaku penyelewengan. Para sahabat mencadangkan supaya menubuhkan satu kumpulan khas bagi menulis al-Quran dan Abu Bakar telah menerima cadangan ini. Abu Bakar telah mempertanggungjawabkan Zaid bin Thabit mengetuai usaha mengumpul dan menulis semula naskhah daripada simpanan para sahabat dan huffaz. Al-Quran pada ketika itu hanyalah ditulis di atas kulit binatang, kayu dan pelepah tamar. Al-Quran yang telah ditulis lalu diserahkan kepada Hafshah binti Umar iaitu isteri Rasulullah agar disimpan. Khalifah Umar telah melakukan polisi baru untuk golongan zimmi. Taraf dan hak awam telah diberikan sama rata. Golongan zimmi yang menentang Islam akan dibuang dan dihalau keluar dari Negara. Harta mereka tidak dirampas, malah harta yang tidak dapat dipindahkan akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam. Selain itu, beliau telah meningkatkan taraf bagi golongan hamba. Golongan hamba tidak lagi ditindas dan dihina kerana mereka diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang baik.[8]  
Beliau menetapkan hamba perempuan yang menjadi ibu tidak akan dijual sesuka hati dan hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dengan keluarga mereka. Taraf golongan hamba sama dengan tuannya dalam hal-hal tertentu dan pegawai yang tidak menjaga kepentingan hamba akan dikenakan tindakan.  Khalifah Umar turut menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu dan dihantar ke seluruh tempat yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Banyak sekolah telah ditubuhkan di masjid. Bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti al- Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Umat Islam wajib menghafal surah-surah tertentu dalam al-Quran. Mereka diberikan sebagai ganjaran usaha demi menggalakkan mereka menghafal al-Quran. Apabila ramai yang menganut agama Islam maka terjadilah perbezaan dengan wilayah- wilayah lain. Mereka menghadapi masalah dalam mempelajari al-Quran dan banyak terdapat perbezaan bacaan yang membawa kepada kesalahan bacaan antara satu tempat dengan tempat lain. Keadaan ini telah menyebabkan salah faham dan saling tuduh-menuduh sesama orang Islam untuk menyatakan siapa yang betul bacaannya. Oleh itu, Khalifah Usman menyatakan satu naskhah al-Quran yang digunakan secara rasmi oleh seluruh umat Islam. Al-Quran yang berbeza telah dibakar dan beliau telah menggunakan lahjah Bahasa Quraisy. Al-Quran ini dikenali sebagai Mashaf Usmani atau Resam Usmani.[9]
Khalifah Umar  telah menubuhkan Kuttab di mana pendidikan yang dititik beratkan ialah membaca dan menulis,membaca al-Quran dan menghafalnya,belajar mengambil wuduk,solat dan puasa. Selain itu beliau juga memperkenalkan mata pelajaran berenang,memanah,menunggang kuda,serta menghafal syair,madah dan peribahasa. Sementara itu pula di peringkat yang lebih tinggi diajar al-Quran dan hadis,tafsir serta pelajaran yang berhubung dengan tasrif. Beliau juga mewajibkan umat Islam mempelajari sekurang-kurangnya 5 surah daripada al-Quran iaitu surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah, al-Haj dan al-Nur kerana surah-surah itu mengandungi perintah-perintah dan arahan-arahan Allah S.W.T. Beliau juga mewajibkan menghafal al-Quran. Selain itu beliau juga mengutus beberapa orang sahabat seperti Abu Darda,Abdul Rahman bin Maqal dan Abdul Rahman bin Ghuman ke wilayah-wilayah lain sekitar Madinah untuk mengajar bagi membolehkan penduduknya bermuamalat secara Islam. Sementara itu Abu Sufian ditugaskan untuk mengajar al-Quran kepada orang-orang Badwi.[10]
Baghdad adalah ciptaan khalifah Abbasiyah. Khalifah Jaafar al-Mansur pada tahun 762 TM telah mengasaskan Baghdad sebagai ibu kotanya. Terletak antara Sungai Tigris dan Euphrates. Baghdad menduduki tempat yang strategik dan tidak begitu lama telah menjadi pusat kegiatan ekonomi dan politik yang setanding dengan konstantinople. Perkembangan Baghdad terdedah kepada pengaruh kebudayaan dan unsur-unsur politik Parsi. Institusi Khalifah yang berbentuk despotisme membayangkan pengaruh konsep kerajaan Sasanid Parsi. Pada keseluruhannya pendedahan sistem politik Abbasiyah kepada pengaruh politik Parsi menyediakan suatu asas untuk perkembangan suatu zaman baru yang memuncak dengan kegiatan intelektual yang pesat pada zaman pemerintahan Harun al-Rasyid dan anaknya, al-Makmun. Berbanding dengan Khalifah Bani Umaiyah, empayar Abbasiyah terdiri daripada berbagai bangsa, adat resam dan kebudayaan. Walaupun masyarakat Abbasiyah di Baghdad bersifat kosmopolitan tetapi pada keseluruhannya wujudlah perpaduan yang berasaskan agama Islam dan bahasa Arab yang dijadikan bahasa rasmi pemerintahan Abbasiyah.[11]
Pernaungan politik mendorong perkembangan ilmu di Baghdad. Sikap kecintaan para pemerintah Abbasiyah terhadap ilmu telah menggalakkan para cendekiawan berkumpul di kota Baghdad. Khalifah al-Mansur merupakan perintis dalam usahanya menaungi dan mempelopori kegiatan intelektual. Harun al-Rasyid telah menarik ramai penuntut-penuntut ilmu oleh kerana Baghdad dikenali sebagai pusat ilmu terpenting dalam dunia pada ketika itu. Sifat kepelbagaian bangsa dan kebudayaan dalam masyarakat majmuk Abbasiyah dan sifat keterbukaan pemerintahannya terhadap aliran-aliran pemikiran yang berlainan telah menjadikan kota Baghdad terkemuka di dunia pada masa itu. Adalah jelas bahawa penyerapan berbagai unsur-unsur daripada kebudayaan Parsi, Syria dan Yunani telah memperkayakan pemikiran intelektual dalam tamadun Islam pada zaman Abbasiyah.[12]
Perkembangan ilmu digalakkan lagi dengan penubuhan dan perluasan suatu rangka institusi pendidikan awam. Setakat ini institusi pendidikan awam berkisar kepada masjid saja dan kurikulumnya hanya merangkumi membaca, menulis, dan mengira. Tetapi pada zaman al-Makmun pendidikan ditingkatkan lagi dengan mendirikan pelbagai akademi termasuklah institusi perundangan dan institusi sains yang dilengkapi dengan perpustakaan dan makmal-makmal. Buat pertama kali pendidikan awam dibiayai oleh kerajaan. Karya-karya Yunani terutama dalam bidang perubatan dan sains di terjemahkan ke dalam bahasa Arab. Contohnya ialah karya-karya Galen, Hippocrates dan Diescarides. Dalam bidang falsafah karya-karya Plato dan Aristotle seperti Republic, Categories, Physics dan Magna Moralia di terjemahkan. Al Fazani juga menterjemahkan karya-karya Sanskrit dalam bidang matematik. Al-Makmun telah mengutus wakilnya menemui Maharaja Byzantium untuk mendapatkan naskhah-naskhah ahli falsafah dan sains bagi diterjemahkan oleh para penterjemah di Baitul Hikmah. Pada keseluruhannya, penterjemahan telah memperkayakan khazanah budaya ilmu Islam.[13]
Zaman penterjemahan diikuti dengan sumbangan asal orang-orang Islam dalam bidang sains dan kesusasteraan. Bahasa Arab yang dulunya digunakan dalam bidang puisi dan agama saja sudah menjadi alat untuk melahirkan pemikiran saintifik dan idea-idea falsafah. Sumbangan asal dalam bahasa Arab adalah nyata dalam bidang perubatan. Al-Khawarizmi memberikan sumbangan  dalam bidang astronomi. Dalam bidang kimia nama terkenal ialah Jabir Ibnu Hayyan yang berjaya memajukan pengetahuan dalam teori dan amalan kimia.[14] Dalam kesusasteraan keadaan istana Harun al-Rasyid di Baghdad memang mengilhamkan penghasilan karya yang terkenal hingga hari ini iaitu Hikayat Seribu Satu Malam. Al-Kindi, Al-Farabi. Pedagang Islam telah berdagang ke timur jauh. Mereka telah membawa balik bukan setakat hasil dagangan tetapi telah membawa balik ilmu-ilmu seperti teknologi perkapalan, astronomi, geografi dan pelayaran. Mereka melalui dua jalan iaitu jalan darat dan jalan laut. Kegiatan penterjemahan berlaku dengan pesat apabila al-Rasyid mendirikan Baitul Hikmah sebagai pusat penterjemahan dan penyelidikan ilmiah. Baitul Hikmah boleh dianggap universiti pertama di dunia Islam yang merupakan kesinambungan daripada Muzium Iskandariah. Al-Makmun telah dilantik Munaya bin Ishaq untuk mengetuai Baitul Hikmah. Munaya adalah seorang ahli perubatan berketurunan Nestorian Kristian yang menguasai bahasa Assyrian dan Arab. Perkembangan ilmu dipesatkan lagi dengan tertubuhnya badan Baitul Hikmah yang khusus untuk kegiatan perbahasan dan penyelidikan. Jadi para pemerintah telah meletakkan suatu asas yang kukuh bagi kelahiran para ilmuwan dan saintis Muslim. Pemerintah juga berperanan menghimpunkan kitab-kitab dari seluruh dunia Islam. Mengumpulkan para sarjana dan diupah untuk mengumpulkan bahan dan manuskrip dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.[15]
Oleh itu, saya berharap masyarakat Islam sekarang berjihad ke arah masyarakat yang sentiasa mahu menegakkan kebenaran dan tidak takut kepada orang yang menentang mereka sehingga datang keputusan Allah. Pemerintah umat Islam seharusnya memainkan peranan dalam membangunkan Negara Islam dengan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti surau di setiap kampung dan mementingkan kemaslahatan rakyat jelata. Pemimpin juga seharusnya menjadikan khalifah Rasulullah sebagai contoh teladan dalam membangunkan Negara Islam. Pemimpin juga mestilah menunjukkan sikap keprihatinan yang tinggi supaya rakyat jelata mengagumi dan menghormati beliau sebagai pemimpin sepertimana yang terjadi pada zaman Khulafa’ Al-Rasyidin dan zaman kerajaan Bani Abbasiyah . Selain pembangunan sosial, bidang pendidikan juga perlu dititikberatkan pada akhir zaman ini khususnya ilmu- ilmu yang berkaitan dengan ilmu agama. Generasi sekarang seharusnya mengambil pengajaran dan tauladan daripada keempat- empat tokoh yang mulia ini. Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam.[16]
Rujukan:




[1] https://asyshakor.wordpress.com/2011/01/22/pendidikan-islam-di-zaman-khulafa%E2%80%99-al-rasyidin/
[2] https://asyshakor.wordpress.com/2011/01/22/pendidikan-islam-di-zaman-khulafa%E2%80%99-al-rasyidin/
[3] https://asyshakor.wordpress.com/2011/01/22/pendidikan-islam-di-zaman-khulafa%E2%80%99-al-rasyidin/
[4] https://asyshakor.wordpress.com/2011/01/22/pendidikan-islam-di-zaman-khulafa%E2%80%99-al-rasyidin/
[5] http://islamadalahrahmah.blogspot.my/2010/11/pendidikan-islam-pada-masa-rasulullah.html
[6] http://www.informasi-pendidikan.com/2015/02/sejarah-pendidikan-islam-pada-masa-bani.html
[7] http://www.informasi-pendidikan.com/2015/02/sejarah-pendidikan-islam-pada-masa-bani.html
[8] http://eseipelajar2015.blogspot.my/2015/01/tajuk-sumbangan-khulafa-ar-rasyidin.html
[9] http://eseipelajar2015.blogspot.my/2015/01/tajuk-sumbangan-khulafa-ar-rasyidin.html
[10] http://ctu551.blogspot.my/2008/04/kemajuan-umat-islam-di-zaman-khulafa-al.html
[11] https://fastnote.wordpress.com/kegemilangan-baghdad/
[12] https://fastnote.wordpress.com/kegemilangan-baghdad/
[13] https://fastnote.wordpress.com/kegemilangan-baghdad/
[14] https://fastnote.wordpress.com/kegemilangan-baghdad/
[15]https://fastnote.wordpress.com/kegemilangan-baghdad/
[16]http://eseipelajar2015.blogspot.my/2015/01/tajuk-sumbangan-khulafa-ar-rasyidin.html 

No comments:

Post a Comment