Saturday, 14 November 2020

Kajian Kecil Kesihatan Mental

 

Faktor Penyebab Sakit Mental Berulang Dan Dimasukkan Dalam Wad Mental Pada Awal Tahun 2008 Dan Akhir Tahun 2009 Suatu Analisis.

Penulis terima sakit mental ini sebagai ujian Allah. Dengan ketentuan Allah penulis sakit mental pada umur 17 tahun. Kita perlu reda dengan ketentuan Allah ini dan mencari apakah hikmahnya disebalik ketetapan Allah supaya kita dapat menghadapi masa depan dengan lebih matang dan Berjaya. Penulis lihat sakit pada waktu tingkatan 4 dahulu ada sebab musababnya atas kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Sakit mental pada tahun 2003 dan sakit berulang pada tahun 2008 dan tahun 2009 itu adalah susulan tiga peristiwa besar yang mempengaruhi minda saya. Sesungguhnya rawatan sakit mental ini adalah suatu rawatan jangka panjang yang memerlukan pesakit berterusan makan ubat mengikut jadual dan perlu menepati temu janji rawatan susulan di Klinik Psikiatri secara berkala. Penyakit mental sudah menjadi barah dalam masyarakat kita.

Mula sakit mental pada tahun 2003 itu adalah susulan peristiwa penulis bercuti di rumah bapa saudara di Muar, Johor pada sesi cuti sekolah sehabisnya peperiksaan PMR tingkatan 3. Sebaik balik dari bercuti di rumah Bapa saudara, penulis silap kerana menerima pengaruh buruk bapa saudara. Pada sambutan Ambang Tahun Baru Cina tahun 2003 itu penulis telah meminta izin ibu untuk cuba meneguk seteguk arak beras. Ternyata arak itu tidaklah seenak manapun. Kemudian penulis cuba merokok kerana pengaruh buruk bapa saudara. Bila hal ini diketahui bapa maka bapa sangat marah dan menyuruh supaya berhenti merokok. Waktu bercuti di rumah bapa saudara itu penulis melihat kedua-dua bapa saudara itu yang seorang melakukan latihan pernafasan mengikut rentak muzik dan seorang bapa saudara lagi boleh membuat upacara penurunan Dewa Datuk Keramat. Penulis meniru latihan pernafasan mengikut muzik serta upacara penurunan tersebut yang menjadi punca kenapa penulis menjadi sakit mental juga disebabkan factor genetik keluarga ibu.

Manakala sakit berulang pada awal tahun 2008 itu adalah susulan rasa kecewa dan putus asa dengan keputusan SPM ulangan tahun 2007 yang tidak memuaskan. Tahun 2006 saya menyambung pengajian agama di Institute Dakwah Islamiah PERKIM Pengkalan Chepa. Memang di IDIP ini penulis belajar agama sepenuh masa. Walaupun mengulang SPM pada tahun 2007 tetapi kelas tuisyen yang di buat oleh pihak IDIP untuk calon SPM IDIP ini tidak mencukupi dan bimbingan oleh guru yang kurang pakar dan pengalaman. Kemudian masa tuisyen yang singkat menyebabkan tidak sempat membuat latihan praktis dan ulangkaji pelajaran. Walaupun sebenarnya dalam keputusan SPM ulangan 2007 tersebut penulis memdapat 2A dalam Subjek Tasawur Islam dan subjek Sejarah. Namun penulis merasa begitu kecewa dan merasa diri tidak berguna. Maka penulis pun masuk wad mental pada awal tahun 2008 lantaran hendak melarikan diri dari kenyataan dan reality. Dalam wad pegawai perubatan wad psikiatri telah memberikan saranan supaya jangan merasa diri tidak berguna tetapi teruskan perjuangan untuk kehidupan selanjutnya.

Seterusnya sakit berulang pada akhir tahun 2009 susulan penulis mencederakan diri setelah keluar wad pada 2008. Selepas keluar wad pada awal tahun 2008 penulis telah keluar tabligh 40 hari pada cuti semester. Dan seperti biasa kesan sampingan seperti mengantuk tetp ada. Setiap kali dalam kelas pensyarah IDIP tegur bila penulis mengantuk dalam kelas menyebabkan penulis kecewa dan mencederakan diri. Pelbagai cara penulis menghukum diri yang memberi kesan teruk ialah penulis cederakan diri dengan sujud hantuk kepala dalam solat sehingga tulang dahi retak. Hal ini telah disaksikan oleh pelajar IDIP yang lain dan dilaporkan kepada warden Ustaz Ahmad Daud Leman. Selepas peristiwa hantuk kepala dalam solat, penulis mengalami kesakitan pada dahi. Warden kata kesakitan itu disebabkan kesilapan penulis mencederakan diri dengan sujud hantuk kepala dalam solat. Tidak patut penulis berbuat begitu. Akhirnya warden mencari jalan untuk menyelamatkan keadaan dengan mengesyorkan penulis menjalani Bekam Sunnah dan mengamalkan pemakanan Sunnah seperti Habatus Sauda dan Madu asli.

Penulis yakin semua ini adalah ketentuan Allah. Penyakit mental ini dari Allah untuk menguji kesabaran dalam menjalani rawatan di hospital. Dengan keyakinan semua ini takdir Allah inilah maka Allah bagi ilham kepada kita untuk terus bersabar dalam menghadapinya dan tidak putus asa. Ujian itu daripada Allah dan dalam masa sama Allah bagi jalan keluarnya. Pada mulanya penulis perlu pergi rawatan susulan di klinik psikiatri setiap bulan sekali. Pada tahun 2012 Doktor pakar Psikiatri telah bagi tempoh rawatan susulan kepada 3 bulan sekali hadir ke klinik psikiatri. Pada tahun 2016 Doktor Pakar Psikiatri sekali lagi lanjutkan tempoh temujanji rawatan susulan kepada 4 bulan sekali hadir ke klinik psikiatri. Akhirnya pada akhir tahun 2019 Doktor Pakar Psikiatri melanjutkan lagi tempoh temujanji rawatan kepada 6 bulan sekali hadir ke klinik psikiatri. Ubat yang dibekalkan oleh farmasi satelit klinik psikiatri adalah mencukupi. Semua ini berkat kesabaran dan tetap makan ubat penulis selama ini.

Sesungguhnya pengaruh itu akan memberikan kesan kepada cara kita berfikir dan bagaimana kita mengambil tindakan. Dan pengaruh itu mungkin dari sumber televisyen, kawan, guru, buku, Youtube, media sosial, isu politik dan hal keadaan semasa. Untuk memudahkan kita mengurus setiap pengaruh yang dihadapkan kepada kita. Adalah perlu kita menetapkan 101 matlamat hidup kita secara spesifik. Dengan cara ini kita akan tahu mana hala tuju kita dan hati tidak mudah goyah dengan segala pengaruh buruk. Pengaruh buruk itu adalah sempadan kita manakala pengaruh baik patut diterima dan dijadikan teladan. Penulis bukanlah seorang yang suka mengasingkan diri daripada orang ramai dan bukan seorang yang anti sosial. Namun penulis sentiasa berhati-hati dalam memilih siapakah yang patut dijadikan kawan. Di dunia nyata penulis kelihatan seorang yang tidak suka berkawan sebaliknya dalam lam maya penulis adalah Netizen yang ramai kawan dan sangat popular dalam media sosial.

Dalam kamus orang beriman memang tiada istilah putus asa. Setiap manusia ada peranan dan tanggungjawab masing-masing. Allah menciptakan bakat dan kebolehan kita sudah tentu ada kegunaannya. Mungkin kita akan berdepan dengan kegagalan banyak kali bahkan berkali-kali dalam hidup sebelum mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Apabila kita sudah tahu manakah hala tuju kita maka kita tidak putus asa bila ditimpa kegagalan. Jadikan diri kita ini umpama batu permata yang tahan diuji oleh kepanasan tinggi. Sebagai orang mukmin tidak putus asa dan hati tidak goyah walaupun ditimpa sebesar mana ujian hidup. Setiap halangan itu seharusnya menjadi pemangkin untuk kita terus memajukan diri  bukannya mengundurkan diri ke belakang. Dahulu penulis tidak memahami proses rawatan psikiatri ini dan kerap masuk wad semata-mata untuk lari dari reality dan kenyataan. Walaupun kita cuba hendak lari dari kenyataan ia tetap akan datang mengejar kita. Apa yang ditakdirkan menimpa kita, ia memang tidak akan terlepas daripada kita.

Mendenda diri dengan mencederakan diri itu bukan dari ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Penilaian diri yang tidak adil tanpa melihat kepada usaha yang telah dilakukan itu suatu kezaliman terhadap diri. Sayangilah diri anda. Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: “janganlah memcampakkan diri anda kedalam bahaya kebinasaan.” Hargailah diri anda kerana penghargaan orang lain tidaklah begitu penting berbanding penghargaan diri sendiri. Sayangilah diri anda kerana kasih saying orang lain tidaklah begitu penting berbanding kasih saying diri sendiri. Buat apakah kita memarahi diri sendiri tatkala kita melakukan kesilapan dengan menghukum diri sedangkan rahmat Allah lebih luas daripada kemurkaan Allah. Tidaklah salah bila kita memberikan peneguhan positif dengan solat sunat taubat 6 rakaat dan istighfar 100 kali tatkala tersilap dalam tindakan kita. Begitulah perubahan yang penulis lakukan berdasarkan pengalaman yang lalu supaya boleh menghadapi pengulangan permasalahan pada masa akan datang dengan lebih matang.

Untuk mengelakkan sakit berulang pada masa depan, maka penulis perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan yang bakal berlaku kerana sesungguhnya kemungkinan yang berlaku adalah baik bagi penulis. Kita kena sentiasa meraikan setiap ketentuan Allah. Kita boleh tahu kemungkinan itu dengan membuat pemerhatian apa yang berlaku dalam sepanjang tempoh setiap 12 tahun. Kita juga perlu proaktif dan jangan sesekali bersifat statik dan pasif. Hal ini kerana kita perlu melakukan perubahan sikap dan mentaliti setiap tahun supaya kita boleh mengharungi tahun tersebut dengan gagah dan Berjaya. Sifat reda dan sabar itu dilihat sebagai strategi yang ampuh untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kefahaman agama yang betul juga penting kerana untuk memahami setiap isu dan masalah berbangkit dengan tepat dan dapat mencari penyelesaian masalah dengan berkesan. Kita perlu sentiasa mendapatkan rujukan yang tepat dalam setiap bidang kehidupan kita.

Begitulah penulis cuba merungkai setiap persoalan yang timbul dalam menghadapi masalah kesihatan mental ini. Bila kita sudah sakit mental dan hilang kewarasan masa inilah kita baharu mengerti betapa penting dan berharganya kesihatan mental. Dalam erti kata lain ubat perlu dimakan dengan cara yang betul secara berterusan dan mungkin perlu makan ubat seumur hidup. Rawatan juga perlu diteruskan supaya masa depan lebih cerah dan kehidupan lebih sejahtera. Penulis sudah tahu bagaimanakah hendak mengatasi dengan kawan dan orang yang anti ubat ini. Memang tidak semua pesakit mental seperti penulis yang istiqamah dengan ubat dan rawatan psikoterapi ini. Kebanyakan pesakit menghentikan rawatan dan tidak makan ubat dengan sendiri tanpa ikut arahan doctor pakar psikiatri. Hal ini sebenarnya jauh lebih bahaya. Sedangkan malang tidak berbau. Jika tiba-tiba sakit berulang atau menjadi lebih teruk tidak dapat dibayangkan kesudahannya.

No comments:

Post a Comment