Kisah-kisah silam masih menjadi
ingatan dalam diri saya, ternyata semua yang Allah tetapkan ini ada hikmahnya.
Semasa saya berumur empat tahun,
saya pernah dipukul oleh ibu sehingga pengsan dengan badan yang cedera luka pada
suatu hari. Tragedi ini memberikan kesan sampingan terhadap kesihatan saya
sehingga badan saya menjadi lemah serta menghantui diri saya sepanjang
kanak-kanak.
Keluarga saya memang kuat berpegang
dengan agama tradisi Cina, jadi Ibubapa saya sering membawa kami adik-beradik
ke tokong Cina untuk upacara pemujaan dan penurunan. Biasanya pendeta Cina akan
membuat rawatan perbomohan Cina keatas pengunjung yang ada masalah kesihatan,
memberikan nombor ekor, dan menyelesaikan perselisihan dalam keluarga dan masyarakat
cina. Keadaan fizikal saya memang kurus dan lemah , saya pernah pengsan dua
kali semasa belajar di tadika dan kelas peralihan. Dan semasa kanak-kanak ,saya sering bermimpi
ngeri dan tidak dapat memberikan tumpuan dalam pelajaran sehingga gagal dalam
peperiksaan UPSR .
Ibubapa saya sentiasa sibuk dengan
pekerjaan mereka sehingga menghantar anak-anak untuk diasuh oleh bonda nenek
sebelah ibu.
Ketika saya berumur tujuh tahun,
suatu hari dalam perjalanan ibu membawa saya untuk membantu kerja di kebun,
menjelma qorin saya berupa seorang rakan yang sebaya untuk berkawan. Ini
merupakan rahsia yang tidak diketahui oleh ahli keluarga lain. Saya mengetahui
perkara yang sebenar setelah beberapa kali
mengikuti seminar pengubatan Islam. Ini merupakan suatu godaan yang
memerlukan saya cekal dan tabah supaya tidak tersesat.
Saya mula dirujuk menjalani rawatan
susulan di Hospital Segamat, kemudian berpindah ke Hospital Negeri Pulau Pinang
untuk rawatan seterusnya semasa saya belajar fardu ain di Darul Hidayah, akhirnya
saya dirujuk meneruskan rawatan di Jabatan Psikiatri, Hospital Raja Perempuan
Zainab II apabila saya melanjutkan pengajian agama di Institut Dakwah Islamiah
PERKIM dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra .
Bagi saya penyelesaian bagi penyakit
mental adalah tarbiah Islam itu sendiri, dan ternyata ia memberikan kesan
positif dalam diri saya. Sejauh mana pengorbanan dan mujahadah yang anda
lakukan untuk agama dengan niat Islah diri maka sejauh itulah keadaan anda akan
dibaiki oleh Allah. Untuk mencapai hakikat keimanan yang sebenar anda perlu
menekan hawa nafsu untuk memenuhi Sunnah Rasulullah.
Sebagai pesakit mental saya tidak
boleh lari dari kenyataan dan realiti hidup ini, masyarakat sentiasa prihatin kepada
golongan pesakit mental dan tidak pernah menyisihkan kita, saya perlu cekal dan
tabah serta sentiasa bersangka baik kepada Allah, diri dan orang lain.
Akan selalu ada saudara muslim yang
tanya bagaimana saya memperolehi hidayah
untuk menjadi motivasi bagi mereka serta sebagai iktibar dalam hidup
mereka. Oleh itu sebagai mualaf kita tidak boleh bersangka buruk bahawa mereka
menpersoalkan keislaman kita.
Saya bersyukur kerana memperolehi
hidayah memeluk Islam melalui amalan membaca, dan saya memang gemar membaca
semenjak bangku sekolah lagi serta pernah mandapat pengiktirafan oleh pusat
sumber sekolah menengah dahulu. Saya berpeluang meminjam bahan bacaan agama
Islam serta membeli buku rujukan Pendidikan Islam.
Selain itu saya merasa tenang dan
mendapat pengisian rohani apabila
mendengar alunan azan serta lagu nasyid yang merdu. Kuliah agama dan Jejak
Rasul juga menjadi kegemaran saya ketika itu. Sepatutnya media televisyen
hendaklah dimanfaatkan untuk mengisi kekosongan jiwa bukan tujuan melekakan
diri.
Konsep qada’ dan qadar dalam Islam
sangat menarik hati saya dimana Allah sentiasa menguji keimanan dan kesyukuran
manusia dengan sedikit ujian, dan Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu
sehingga dia mengubah dirinya sendiri, ini sentiasa menjadi motivasi bagi diri
saya.
Setelah sekian lama keislaman saya
ini, saya memohon semoga Allah mengekalkan saya dalam Iman dan Islam,
dipermudahkan untuk menunaikan tuntutan agama dan menjadi pejuang agama yang
sentiasa menegakkan agama Islam.
No comments:
Post a Comment