Tuesday, 27 August 2019

Ringkasan kaedah Pengajaran Pendidikan Islam


BAB 1: ANALISIS STRATEGI DAN PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN ISLAM SEKOLAH RENDAH
Strategi, kaedah atau teknik yang hendak digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mestilah mempunyai sesuatu yang boleh menarik minat pelajar untuk belajar, maka dengan ini pelajar akan berusaha dengan lebih gigih dan tekun. Di samping itu dapat mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek intelek, jasmani, rohani dan emosi.
Strategi pengajaran ialah kepandaian guru membuat perancangan dan pelaksanaannya terhadap semua aspek pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuklah pemilihan dan pelaksanaan kaedah, teknik, akitiviti, bahan dan masa yang digunakan.
Antara jenis-jenis strategi yang biasa digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam ialah:
·         Strategi berpusatkan guru
·         Strategi berpusatkan murid
·         Strategi berpusatkan bahan
Terdapat beberapa ciri di dalam strategi berpusatkan guru ini, iaitu;
1.      Komunikasi antara guru dan murid adalah sehala.
2.      Kepimpinan guru adalah bersifat autokratik.
Kaedah yang menjadi pertimbangan asas apabila guru menggunakan strategi ini adalah kaedah-kaedah seperti berikut;
·         Demontrasi.
·         Syarahan/ Kuliah.
·         Bercerita.
·         Penerangan.
Kaedah yang menjadi pertimbangan asas apabila guru menggunakan strategi berpusatkan murid ini adalah kaedah-kaedah seperti berikut;
·         Kumpulan.
·         Inkuiri penemuan.
·         Perbincangan.
·         Penyelesaian masalah.
·         Bermain.
·         Simulasi.
·         Sumbangsaran.
·         Projek.
·         Main peranan.
·         Penyoalan.
Strategi berpusatkan bahan. Strategi ini menjadikan guru sebagai fasilitator yang menekankan kepada penggunaan bahan bantu mengajar (BBM).
Bahan-bahan yang digunakan perlulah memenuhi ciri-ciri seperti berikut;
·         Ketepatan
·         Kejelasan
·         Keluasan
·         Kepelbagaian
Strategi yang dirancang perlulah:
ü  Dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran
ü  Bersifat fleksible -- mengikut situasi dan keadaan murid pelbagai aras kebolehan
ü  Berpusatkan murid.
ü  Memberi penekanan kepada pengajaran yang bermakna, kreatif dan inovatif.
ü  Menggalakkan Inkuiri penemuan dan penyelesaian masalah.
ü  Pengajaran secara kumpulan dan individu digalakkan.
Kaedah yang menjadi pertimbangan asas apabila guru menggunakan strategi berpusatkan bahan ini adalah kaedah-kaedah seperti berikut:
·         Audio-visual.
·         Pengajaran terancang.
·         Penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran.
·         Modul.
·         Penggunaan buku teks dan rujukan.
Dalam pengajaran pembelajaran Pendidikan Islam anda boleh menggunakan apa jua jenis pendekatan asalkan ia mengandungi ciri-ciri berikut:
·         Memberi ilmu - kognitif
·         Menanam kepercayaan dan pegangan kepada akidah Islamiah- afektif
·         Membina kemahiran dan amalan - psikomotor
·         Memupuk dan menanam penghayatan – afektif
·         Membentuk pandangan, sikap dan akhlak – afektif
·         Mewujudkan hubungan mesra di antara guru dengan murid
·         Menyepadukan faktor dan nilai
·         Merentas kurikulum
·         Menggabungjalin kemahiran, isi dan nilai
·         Memotivasikan murid dalam pembelajaran
Berikut adalah jenis pendekatan yang sering digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam.
1.      Pendekatan Bersepadu. Dalam pendekatan ini, guru melaksanakan semua unsur-unsur yang terdapat di dalam kurikulum secara bercantum atau bersatu. Semua ilmu diajar dengan cara saling berkaitan di antara satu sama lain.
2.      Pendekatan Induktif. Pendekatan ini menggunakan cara pengajaran dengan memperlihatkan bahagian-bahagian kecil (khusus) sampai kepada perkara-perkara besar atau umum.
3.      Pendekatan deduktif. Cara pengajaran yang menggunakan pendekatan deduktif adalah berlawanan dengan pendekatan induktif. Pendekatan ini bermula dengan guru memberikan rumus-rumus atau teori yang berkaitan contoh hukum halal, haram, rukhsah, azimah dan kemudiannya murid-murid dikehendaki memberikan contoh atau huraian daripada rumus atau teori yang dikatakan.
4.      Pendekatan Eklektik. Pendekatan eklektik ialah cara pengajaran dengan menggunakan kedua-dua pendekatan (induktif dan deduktif) secara serentak. Ia merupakan gabungan pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran.
5.      Pendekatan Pemusatan Murid. Guru dan murid bersama-sama memainkan peranan dalam proses pengajaran-pembelajaran. Murid aktif menyertai aktiviti pembelajaran.
6.      Pendekatan Tematik. Pengajaran tematik bermaksud suatu pengajaran yang disampaikan melalui ideayang besar. Dalam pendekatan ini guru mengenal pasti tema-tema yang hendak dijadikan idea utama pengajaran bagi suatu jangka masa.
7.      Qudwah hasanah. Guru menjadi model kepada murid. Tugas guru bukan sahaja sekadar mengajar dan mendidik bakal-bakal pemimpin negara malah mereka juga merupakan model bagi para pelajarnya (role model).
BAB 2: KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ASUHAN TILAWAH AL-QURAN.
Perancangan prosedur tersebut boleh dilakukan dengan cara-cara seperti berikut:
·         Kenalpasti terlebih dahulu apa yang akan digunakan.
·         Tentukan bahan yang hendak disampaikan mengikut peruntukan masa.
·         Tetapkan langkah-langkah mengikut aktiviti yang diperkenalkan.
·         Susun langkah secara berperingkat.
Teknik merujuk kepada unit-unit kecil yang terkandung dalam sesuatu kaedah atau cara menjalankan pelbagai langkah dalam pengajaran.Ia merangkumi aktiviti, perlakuan dan kemahiran guru yang digunakan dalam pengajaran.
Dalam menjalankan apa sahaja kaedah/teknik prinsip-prinsip di bawah boleh dijadikan panduan:
·         Melibatkan murid secara aktif.
·         Menggalakkan pengalaman secara langsung.
·         Menekankan amalan dan penghayatan.
·         Mengambil kira kebolehan dan kemampuan murid.
·         Menyampaikan pengetahuan dan pengalaman secara bersepadu.
Objektif pengajaran dan pembelajaran ayat bacaan dalam bidang Asuhan Tilawah al-Quran supaya murid dapat menguasai kemahiran membaca sesuatu ayat atau surah al-Quran dengan betul, fasih dan bertajwid.
Objektif pengajaran dan pembelajaran ayat hafazan pula ialah supaya murid dapat menghafaz surah-surah tertentu/ayat-ayat terpilih dengan betul, fasih dan bertajwid untuk dibaca dalam solat dan ibadat harian.
Objektif pengajaran dan pembelajaran ayat kefahaman ialah supaya murid dapat memahami maksud beberapa ayat-ayat atau surah terpilih dengan menghayati pengajarannya sebagai rujukan petunjuk Allah.
Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Asuhan Tilawah al-Qur’an (Ayat Tilawah/Bacaan):
1.      Talaqqi. Talaqqi dari segi bahasa bermaksud pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Manakala dari segi istilah bermaksud pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka. Ringkasnya, guru akan memberi contoh bacaan dan murid mengikut bacaan guru tersebut.
2.      Musyafahah. Musyafahah bermaksud pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka di dalam satu majlis pada satu masa tertentu di mana murid menerima pengajaran dengan melihat pergerakan bibir guru dan mengikut bacaan guru atau guru mendengar bacaan murid dan membetulkan kesalahan mereka. Ringkasnya, kaedah ini adalah “Belajar berguru”.
3.      Tikrar. Maksud Tikrar pada bahasa ialah ulangan berkali-kali. Menurut istilah ialah Aktiviti bacaan berulang-ulang kali untuk menguatkan ingatan dan mengingati sesuatu bacaan berulang kali.
Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Asuhan Tilawah al-Qur’an (Ayat Hafazan):
1.      Cuba Jaya. Dalam melaksanakan kaedah cuba jaya ini, murid-murid diberi masa yang terhad (10 hingga 15 minit) untuk menghafaz ayat-ayat tertentu. Selepas tempoh itu, murid diminta membaca ayat secara hafaz di hadapan guru. Jika murid belum hafaz, guru meminta murid itu cuba hafaz ayat tersebut sekali lagi. Kaedah ini boleh dilaksanakan dalam bentuk kumpulan atau individu.
2.      Sambung Bacaan. Kaedah sambung bacaan dilaksanakan dengan guru membaca satu ayat dan meminta murid-murid menyambung secara hafaz. Kumpulan A membaca ayat pertama secara hafaz, kumpulan B menyambung ayat ke dua secara hafaz, kumpulan C menyambung ayat ke tiga secara hafaz juga dan begitulah seterusnya sambung-menyambung bacaan secara hafaz antara beberapa kumpulan murid. Kemudian guru meminta seorang murid membaca ayat pertama dan meminta seorang murid lain menyambung bacaan ayat ke dua secara hafaz.
3.      Tasmik. Kaedah tasmik dilaksanakan dengan murid diberi tugas menghafaz ayat tertentu di rumah atau di luar waktu sekolah. Pada hari yang ditetapkan, murid membaca ayat yang sudah dihafaz di hadapan guru untuk ditasmik. Guru tasmik hafazan murid tersebut. Murid yang sudah hafaz dicatat sebagai sudah hafaz, manakala murid yang belum hafaz diminta menghafaz lagi.
Teknik menghafaz al-Qur’an:
§  Membaca ayat berkenaan dengan sebutan yang betul dan perlahan-lahan (tartil). Jika ayat panjang ambil sebahagiannya sahaja. [Bacaan berpandukan mashaf]
§  Baca dan ulang-ulangkan beberapa kali hingga lancar.
§  Setelah lancar baca ayat berkenaan dengan lebih cepat (Tadwir).
§  Ulang beberapa kali dengan bacaan tadwir
§  Cuba mengingati ayat-ayat berkenaan tanpa melihat mushaf. Kalau tersangkut barulah lihat mushaf. Kemudian teruskan bacaan secara hafazan.
§  Setelah dapat ingat tanpa lihat mushaf, baca pula ayat sambungannya mengikut langkah-langkah di atas.
§  Setelah dapat mengingati ayat kedua ini, mula balik membaca ayat pertama dan ayat kedua secara hafaz, kecuali kalau tersangkut bolehlah merujuk sekejap kepada mushaf.
§  Ulang bacaan beberapa kali secara tadwir supaya lancar tanpa merujuk mushaf.
§  Baca ayat-ayat yang dihafaz itu dalam solat.
Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Asuhan Tilawah Al-Qur’an (Ayat Kefahaman):
1.      Terjemahan. Kaedah ini adalah dimulakan dengan guru membaca keseluruhan ayat yang telah ditentukan. Selepas itu, guru menterjemahkan kalimat-kalimat penting di dalam ayat tersebut. Kemudian guru menterjemahkan keseluruhan ayat. Setelah itu, guru meminta murid menterjemahkan ayat tersebut bergilir-gilir.
2.      Huraian. Kaedah huraian dilaksanakan dengan guru memberi tugasan kepada dua orang murid (mengikut kesesuaian) untuk menghuraikan maksud ayat. Tugasan ini telah diberi kepada mereka satu minggu lebih awal beserta dengan buku rujukan. Pada hari pengajaran dan pembelajaran, murid yang beri tugas menghuraikan maksud ayat di hadapan kelas.
3.      Perbincangan. Kaedah perbincangan dilaksanakan dengan guru dan murid berbincang mengenai istinbat (rumusan) hukum atau pengajaran yang boleh diambil dari maksud ayat yang telah dihuraikan. Kaedah ini boleh dilaksanakan secara kelas atau kumpulan kecil.
BAB 3: KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN PEMBELAJARAN ( Asas Ulum Syar’yyah, Adab dan Akhlak Islamiah dan Pelajaran Jawi)
Antara kaedah-kaedah yang sering digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Asas Ulum Syar’iyyah, Adab dan Akhlak Islamiah dan Pelajaran Jawi ialah:
·         Tunjukcara/demonstrasi
·         Simulasi
·         Syarahan/kuliah
·         Projek
·         Bermain
·         Bercerita
·         Perbincangan
·         Latihtubi
·         Kuiz
·         Soal jawab
·         Dialog
·         Lawatan
·         Ulangan
·         Lakonan
Kaedah dan teknik pengajaran pembelajaran asas ulum syar’yyah
Antara objektif utama pengajaran akidah ialah:
1.      membentuk akidah Islam yang betul di kalangan pelajar.
2.      membekalkan pelajar dengan ilmu akidah yang lengkap dan mendalam.
3.      menanamkan keyakinan dan roh keislaman yang jitu ke jiwa pelajar.
4.      membentuk pekerti mulia berlandaskan tuntutan akidah.
Kaedah soal jawab. Kaedah soal jawab merupakan kaedah di mana guru mengemukakan soalan , manakala pelajar pula memberi jawapan. Kaedah soal jawab juga biasanya berdasarkan kepada dialog dan perbincangan untuk mendapatkan jawapan serta fakta yang tidak dapat diragui kebenarannya atau dikritik lagi.
Kaedah Perbincangan. Satu kaedah yang melibatkan perbualan, mengeluarkan pendapat, bertukar fikiran, berkongsi maklumat mengenai sesuatu topik atau masalah dengan tujuan mencari penyelesaian.
Kaedah Syarahan. Kaedah syarahan merupakan kaedah pengajaran di mana guru lebih banyak melibatkan diri dalam memberi penerangan, huraian dan penjelasan kepada pelajar. Ia juga merupakan satu bentuk penyampaian atau penerangan mengenai satu isi pengajaran secara lisan oleh guru. Pembelajaran mengenai kaedah ini merupakan kebergantungan pelajar kepada guru, secara tidak langsung ia boleh melahirkan rasa hormat dan sanjungan pelajar terhadap guru.
Kaedah Dan Teknik Pengajaran Ibadah.
1.      Kaedah Tunjuk Cara (Demonstrasi). Kaedah tunjuk cara juga dikenali sebagai kaedah demonstrasi. Kaedah ini sangat memerlukan kemahiran guru untuk mendemonstrasikan langkah-langkah aktiviti bersama pelajar. Biasanya ia melibatkan aktiviti penerangan,demonstrasi guru bersama aktiviti pendengaran dan penglihatan, amali serta percubaan pelajar. Kaedah ini menuntut pemerhatian yang lebih dari murid terhadap sesuatu proses.
2.      Kaedah simulasi. Kaedah simulasi ialah melakukan satu situasi pembelajaran dalam keadaan terkawal dan sengaja diwujudkan sama dengan situasi sebenar. Kaedah ini merujuk kepada guru mewujudkan satu situasi yang hampir sama dengan yang sebenarnya bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang sebenarnya, di dalam keadaan terkawal dan selamat.
3.      Kaedah Amali. Menyediakan bahan pembelajaran secara langsung melalui proses atau cara melakukan sesuatu. Ciri-ciri yang terkandung dalam kaedah amali ialah merangsang daya ingatan murid melalui perlakuan dan latihan kemahiran, murid berinteraksi secara terus dengan isi dan situasi pembelajaran, pengalaman secara langsung terhadap proses dengan bimbingan guru dan ianya sesuai dengan tajuk-tajuk tertentu sahaja.
Kaedah Dan Teknik Pembelajaran Sirah
Antara objektif utama pengajaran sirah ialah:
        i.            Menyedarkan pelajar tentang kisah hidup dan perjuangan Nabi saw dalam menegakkan agama Islam.
      ii.            Mengambil iktibar dan pengajaran yang telah berlaku terhadap umat dahulu.
    iii.            Menjadi nabi saw sebagai contoh ikutan yang baik.
    iv.            Menanam semangat cintakan agama.
1.      Kaedah Bercerita. Dalam konteks pendidikan kaedah bercerita ialah seorang guru menyampaikan isi pengajaran dan pembelajaran secara bercerita dalam suasana menghiburkan. Bagaimapun, guru perlu mematuhi perinsip bercerita supaya ia sesuai dengan murid yang mendengar cerita tersebut.
2.      Kaedah Projek. Satu kaedah di mana murid-murid menjalankan sesuatu aktiviti atau kegiatan dalam situasi yang sebenar. Ia juga melibatkan penyelidikan atau kajian yang terperinci tentang sesuatu tajuk yang dilakukan oleh murid secara individu atau berkumpulan di dalam atau di luar bilik darjah.
Kaedah Dan Teknik Pembelajaran Adab Dan Akhlak Islamiah.
Akhlak bermaksud perilaku, sikap, perbuatan, adab dan sopan santun. Akhlak mulia bermaksud seluruh perilaku manusia yang sesuai dengan tuntunan al-Qur’an dan al-Hadith sebagaimana yang dicontoh dan diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh manusia. Akhlak baginda adalah Al-Qur’an.
1.      Kaedah Perbincangan. Perbincangan sebagai satu kaedah yang melibatkan beberapa aktiviti seperti perbualan, mengeluarkan idea dan pendapat, bertukar-tukar fikiran dan saling berkongsi maklumat mengenai sesuatu topic atau masalah dengan tujuan untuk mencari penyelesaian. Kaedah ini amat sesuai dijalankan dalam sesi pengajaran guru. Dalam bidang akhlak, mereka diajar bagaimana cara menyatakan pendapat dan menerima pandangan orang lain seterusnya memupuk sikap saling menghormati pendapat sendiri dan pendapat orang lain.
2.      Kaedah Lakonan. Kaedah lakonan merupakan kaedah pengajaran berbentuk drama pendek atau sketsa melibatkan lebih dua orang pelajar. Setiap pelajar melakonkan watak dan peranan yang diperlukan mengikut skrip atau isi pengajaran. Sebagai contoh dalam pengajaran akhlak, pelajar diminta melakonkan watak Imam Ghazali dengan penyamun semasa beliau mengembara menuntut ilmu pengetahuan. Pelajar terpilih melakonkan watak tersebut dan murid lain memerhatikannya.
Kaedah Dan Teknik Pembelajaran Jawi.
1.      Kaedah Huruf. Satu kaedah yang memberi penekanan kepada murid-murid mengenal nama dan bunyi huruf.
2.      Kaedah Mengeja. Iaitu satu kaedah di mana murid dikehendaki menyebut huruf dan mengeja serta membina suku kata tersebut. Selain itu, murid juga boleh mengeja terus sesuatu perkataan.
3.      Kaedah Bunyi. Iaitu kaedah membunyikan suku kata dan menyambungkannya dengan suku kata yang lain.
4.      Kaedah Pandang Sebut. Kaedah merupakan satu kaedah yang bergantung erat kepada bahan bantu atau gambar kerana kaedah ini hanya dapat dilaksanakan dengan membunyikan perkataan atau rangkaikata melalaui gambar atau membunyikan ayat melalaui gambar yang ada cerita.
5.      Kaedah bermain. Bermain sambil belajar merupakan satu kaedah atau teknik yang baik untuk melatih murid sebagai seorang manusia dan menjadikan pengajaran di sekolah lebih menarik dan praktis.
BAB 4: PRINSIP PERKEMBANGAN ISI PELAJARAN DALAM SEMUA BIDANG PENDIDIKAN ISLAM
Isi pelajaran ialah kandungan isi pelajaran yang terdapat di dalam sukatan pelajaran dan dihuraikan di dalam huraian sukatan pelajaran. Kedua-dua dokumen penting ini hendaklah dirujuk oleh guru-guru dengan teliti.
Isi Pelajaran hendaklah disusun bersesuaian dengan:
ü  Objektif pelajaran
ü  Sukatan pelajaran mengikut tajuk
ü  Peruntukan masa
ü  Urutan bagi mencapai objektif
ü  Minat dan kebolehan murid
ü  Kefahaman murid
ü  Aras yang dirancang
Guru perlu mematuhi prinsip-prinsip perkembangan isi pelajaran dalam merancang pengajaran dan pembelajaran supaya mudah difahami oleh murid serta mencapai objektif yang dirancang. Prinsip-prinsip tersebut ialah mudah kepada susah, perkara yang diketahui kepada perkara yang belum diketahui, maujud kepada mujarrad, khusus kepada umum dan dekat kepada jauh.
Pemahaman terhadap prinsip-prinsip isi pelajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam akan memperkembanghkan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dengan lebih tersusun. Dengan ini perkembangan isi pelajaran secara berperingkat-peringkat adalah perlu diambil kira dalam memahamkan sesuatu isi pelajaran supaya dapat dikekalkan dalam ingatan dan penghayatan murid secara berterusan.
BAB 5: PANDUAN PENGELOLAAN SESI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM BAGI SEMUA BIDANG.
Rancangan pengajaran merupakan rangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah dalam satu tempoh yang telah ditetapkan. Tujuan utama penyediaan rancangan pengajaran adalah untuk menjamin murid mencapai objektif pengajaran secara berkesan, di samping meningkatkan keyakinan guru untuk mengajar.
Menurut Atan (1982), seorang guru perlu mengetahui secara mendalam apa yang hendak disampaikan kepada pelajar kerana pengetahuan dan kemahiran guru akan menimbulkan rasa percaya dalam dirinya, seterusnya menambahkan kepercayaan pelajar terhadap guru. Guru mesti mengetahui isi kandungan yang mereka hendak sampaikan untuk pelajarnya dan tahu cara untuk memindahkan ilmu tersebut kepada para pelajarnya dalam bentuk yang boleh diterima oleh pelajar (Kauchak dan Eggen, 1998).
Rancangan Tahunan/Semester. Satu jadual perancangan yang dibuat dengan mengagihkan sukatan pelajaran mengikut tahun atau semester.
Rancangan Mingguan. Satu perancangan yang dibuat untuk satu minggu.
Rancangan pengajaran harian merupakan rancangan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh guru dan murid dalam satu atau dua waktu pengajaran. Dalam penulisan persediaan mengajar, guru perlu menggunakan strategi tertentu untuk mencapai objektif pengajaran. Segala aktiviti guru murid yang dicadangkan hendaklah dinyatakan dalam bentuk yang mudah dicerap.
Setiap proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan tiga peringkat, iaitu; pengenalan, penyampaian dan penutup. Tumpuan utama dalam setiap peringkat ini adalah mengarah kepada pencapaian objektif yang dirancang.
Set induksi berperanan sebagai montaj dalam sesuatu persembahan. Menarik atau tidaknya sesuatu pengajaran bergantung kepada cara guru menggunakan (kira-kira) 5 minit pertama pengajarannya. Bahagian set induksi memainkan peranan penting untuk menarik dan mengekalkan minat murid, seterusnya mengambil bahagian secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Penyampaian merangkumi segala langkah yang perlu diambil atau dilakukan untuk mencapai objektif pengajaran. Penyampaian merupakan pengajaran sebenar. Penyampaian yang berkesan melibatkan usaha guru mengaplikasikan segala kemahirannya, melalui peralatan, kaedah, strategi dan pendekatan tertentu untuk menyampaikan bahan pengajaran. Semasa proses ini guru perlu melibatkan murid secara aktif, membimbing dan menilai pembelajaran mereka, selaras dengan objektif pengajaran.
Pada peringkat akhir sesuatu pengajaran, guru perlu memberi pengukuhan terhadap pembelajaran murid, di samping mendapatkan maklumbalas mengenai prestasi murid ke arah pencapaian objektif yang dirancang. Segala konsep, prinsip, fakta atau kemahiran penting yang telah dibincang hendaklah dinyatakan kembali.
Penilaian adalah suatu sistem atau proses yang meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk membuat analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil tindakan yang sewajarnya, seperti merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan.
Refleksi didefinisikan sebagai inkuiri yang sistematik pada amalan pengajaran sendiri bagi membaiki amalan pengajaran serta meningkatkan kefahaman mengenai sesuatu perkara. Refleksi dibuat selepas guru selesai melaksanakan pengajaran sebagai penilaian kendiri atau muhasabah berkenaan pengajaran guru.
Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam yang berkesan merupakan isu yang sangat penting dan mencabar kepada semua guru Pendidikan Islam. Istilah “berkesan” dan “menarik” adalah sesuatu yang amat sukar didefinasikan secara tepat kerana kedua-duanya bersifat “relatif” dan berbeza mengikut keadaan dan presepsi seseorang (Kamarul Azmi Jasmi & Ab.Halim Tamuri,2007)
Menurut Kamarul Azmi Jasmi (2007) guru perlu menguasai ilmu kerana dengan ilmu yang luas dan mendalam sahaja mereka dapat menghuraikan sesuatu topik pengajaran dengan baik dan mantap. Pendidikan Islam akan menjadi menarik dan relevan kepada pelajar sekiranya guru boleh mengaitkan apa yang dipelajari dengan realiti dengan isu semasa yang berlaku. Relevannya ilmu wahyu dengan kehidupan seharian menjadikan Pendidikan Islam itu sesuai sepanjang zaman.
BAB 6: APLIKASI TEKNIK DAN SIMULASI PENGAJARAN.
Adab-adab Dalam mengajar dan Mempelajari al-Quran:
1.      Hendaklah memasang niat mengajar dan mempelajari al-Quran semata-mata kerana mencari keredhaan Allah SWT.
2.      Hendaklah mengelakkan diri dari mencari pengaruh atau kemasyhuran dalam mengajar atau mempelajari al-Quran.
3.      Hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan amalan dan budi pekerti yang mulia sesuai dengan kedudukan al-Quran. Antara amalan yang dianjurkan ialah amalan seperti menggunting misai, memotong kuku, menguruskan janggut, membersihkan diri dari dari kekotoran dan bau yang tidak menyenangkan dan tidak memakai pakaian yang tidak senonoh.
4.      Hendaklah guru menyambut baik orang yang hendak mempelajari al-Quran dengannya.
5.      Hendaklah guru sentiasa memberi nasihat-nasihat yang baik serta memberi dorongan dan motivasi kepada muridnya
6.      Guru dan murid hendaklah sentiasa mengamalkan sifat suka merendah diri. Mereka juga hendaklah saling berlemah-lembut antara satu sama lain.
7.      Guru hendaklah juga mendidik murid-muridnya dengan adab-adab yang terpuji. Mereka yang mengamalkan adab-adab yang terpuji akan mempunyai hati yang bersih dan mudah menerima ilmu yang disampaikan oleh guru kepadanya.
8.      Guru hendaklah mempunyai sifat berdedikasi dalam pengajarannya. Umpamanya mengosongkan fikirannya dengan perkara-perkara yang boleh mengganggu penumpuan. Di samping itu, guru juga hendaklah mengambil berat terhadap pencapaian muridnya dengan memastikan murid-murid membuat ulangkaji dan sebagainya.
9.      Guru hendaklah memberi keutamaan kepada murid yang datang lebih awal kepadanya.
10.  Guru tidak harus menolak orang yang ingin belajar dengannya meskipun orang tersebut mempunyai niat yang tidak baik atau belajar bukan kerana mencari keredhaan Allah.
11.  Guru hendaklah seboleh-bolehnya mencari tempat yang lapang dan selesa dalam melaksanakan pengajaran.
12.  Hendaklah membersihkan diri sebelum membaca al-Quran. Sebelum membaca al- Quran, seseorang itu hendaklah terlebih dahulu berwudu’.
13.  Hendaklah membaca dalam keadaan mengadap ke arah kiblat.
14.  Hendaklah menjauhkan perbuatan yang tidak senonoh seperti gelak ketawa, bergurau senda serta melihat sesuatu yang melalaikan.
Pendekatan Pengajaran al-Quran pada Zaman Rasulullah SAW:
1.      Pendekatan Membaca. Pada peringkat awal al-Quran diturunkan, aspek bacaan dan penghafazan sangat dititik beratkan. Ini adalah disebabkan pada masa tersebut, kemampuan menulis di kalangan umat Islam adalah terhad.
2.      Pendekatan Menghafaz. Sejarah menunjukkan bahawa selain dari kaedah membaca, pengajaran al-Quran kepada generasi awal umat Islam adalah melalui pendekatan menghafaz.
3.      Pendekatan Menulis. Selain dari membaca dan menghafaz, Rasulullah SAW juga menyuruh para sahabat yang mampu menulis ketika itu supaya menulis ayat-ayat al-Quran yang dihafaz untuk kegunaan mereka sendiri ataupun untuk disimpan (Abdul Halim al-Muhammady. 1990).
Kaedah-kaedah Pengajaran al-Quran di Malaysia:
1.      Kaedah Baghdadiyah. Kaedah ini merupakan kaedah yang paling lama dan meluas digunakan di seluruh dunia. Ia dipercayai berasal dari Baghdad, ibu kota Iraq dan diperkenalkan di Malaysia seiring dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu sejak berabad yang lalu. Kaedah Baghdadiyah menggunakan sebuah buku yang dinamakan”Muqaddam” yang menjadi bahan utama pengajaran asas tilawah al-Quran.
2.      Kaedah Qira’ati. Kaedah”Qiraati” yang bermaksud ”Bacaanku” mula diperkenalkan pada tahun 1963 di Semarang, Indonesia oleh seorang guru al-Quran yang bernama Bapak Haji Dachlan Salim Zarkasyi. Pada mulanya terdiri dari sepuluh jilid buku untuk kanak-kanak berusia enam tahun ke atas. Kemudian dikemaskinikan menjadi lapan jilid, enam jilid dan akhirnya lima jilid.
3.      Kaedah Iqra’. Kaedah Iqra’ atau cara cepat belajar al-Quran Rasm Uthmani. juga adalah berasal dari Indonesia iaitu mula diperkenalkan pada tahun 1984 di sebuah Taman Kanak-Kanak AlQuran di Kota Gedo, Jogjakarta. Pengasas kaedah ini ialah Haji As’ad Humam yang telah menyusun enam jilid buku Iqra’.
4.      Kaedah Hattawiyyah. Sementara kaedah Hattawiyyah pula adalah satu kaedah membaca al-Quran dengan berpandukan tulisan rumi. Kaedah ini diperkenalkan bagi membantu pelajar yang terlalu lemah dalam tulisan jawi. Oleh kerana itu syarat utama untuk mengajar atau menggunakan kaedah ini ialah pelajar tersebut benar-benar buta al-Quran dan pelajar tersebut boleh membaca rumi.
Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Tilawah al Quran:
1.      TALAQQI MUSYAFAHAH. Kaedah mempelajari bacaan al-Quran yang tertua dan dipraktikkan oleh Jibril a.s kepada Rasulullah SAW dikenali sebagai “Talaqqi Musyafahah”. Caranya Jibril membaca ayat suci al-Quran kemudian Rasulullah SAW meniru bacaan tersebut dengan diperhatikan oleh Jibril. Setelah itu Rasulullah SAW terus menghafal ayat berkenaan. Seterusnya Rasulullah SAW membacakan kepada para sahabat, para sahabat pula meniru bacaan Rasulullah SAW kemudian diminta dituliskan, seterusnya tulisan itu dibacakan dan dihafalkan.
2.      KAEDAH LATIH TUBI. Kaedah latih tubi adalah satu aktiviti pengulangan fakta atau ayat atau kecekapan yang dipelajari. Tujuan kaedah ini digunakan adalah supaya pelajar mencapai taraf penguasaan bacaan dan hafazan di samping menjamin kekekalannya dalam ingatan pelajar. Pelajar dapat menyebut dengan fasih dan seterusnya dapat melancarkan bacaan mereka dalam al-Quran. Oleh yang demikian kaedah latih tubi ini amat sesuai bagi mereka yang baru belajar al-Quran, malah kaedah ini sememangnya telah diperaktikkan sejak zaman Rasulullah s.a.w.
3.      KAEDAH TASMIK. Tasmik adalah perkataan yang diambil dari bahasa Arab yang bermaksud mendengar. Kaedah ini digunakan guru dalam pengajaran Tilawah al Quran melalui aktiviti guru mendengar bacaan pelajar. Kaedah tasmik melibatkan guru dengan pelajar di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kaedah ini digunakan untuk menguji tahap pencapaian pelajar dalam penguasaan bacaan dan hafazan al Quran.
4.      KAEDAH SOAL JAWAB. Kaedah soal jawab adalah kaedah yang paling kerap digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini merupakan interaksi dua hala yang melibatkan pelajar dan guru yang memberi kesan positif terhadap kefahaman pelajar terhadap topik atau pelajaran yang dipelajari kerana mereka berpeluang menyoal guru untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tajuk pelajaran.
5.      KAEDAH PENERANGAN. Kaedah penerangan merupakan kaedah pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru. Maksud kaedah ini ialah, guru memberi penerangan tentang sesuatu tajuk pelajaran atau isi pengajaran secara lisan. Bagi menghasilkan pengajaran yang lebih berkesan serta memberi kefahaman kepada pelajar, guru perlu menggunakan alat bantuan mengajar seperti gambar, carta atau LCD di samping dapat menarik minat pelajar dalam pelajaran tersebut.



No comments:

Post a Comment