Thursday, 2 April 2015

Asas Pengurusan Islam

Proses pengorganisasian dan penyusunan dalam pengurusan.

Proses pengorganisasian adalah proses penentuan penggunaan tenaga, terutamanya tenaga manusia yang perlu di manfaatkan dalam sesuatu organisasi atau sesuatu pergerakan supaya ianya dapat diurus dan disusun dengan rapi agar matlamat organisasi dan gerakan dapat tercapai.

Antara kepentingan proses pengorganisasian ialah: kita memanfaatkan semua tenaga dan sumber manusia secara optimum; warga sesuatu organisasi disusun dan diberikan tugas secara tepat dan sesuai dengan kebolehan masing-masing; kebakatan dan kepotensian yang ada pada setiap orang perlu dimanfaatkan; seterusnya kita perlu berusaha untuk mengelakkan pembaziran penggunaan tenaga dan kewangan; kemudian penyelarasan perlu diwujudkan supaya tidak berlaku pertindihan dan pertembungan; dan penambahbaikan juga perlu dibuat supaya dapat menyesuaikan diri dan gerakan dengan faktor semasa dan perkembangan terkini; akhirnya matlamat dan objektif organisasi dan gerakan dapat tercapai.

Manakala antara proses penyusunan ialah: kita hendaklah menyenaraikan semua tugas dan kerja yang perlu dibuat; kita dapat membuat pembahagian tugas yang perlu kita lakukan secara bijaksana; kita juga perlu mewujudkan unit-unit dan jabatan-jabatan dalam organisasi kita; seterusnya kita mewujudkan penyelarasan dalam organisasi; dan akhirnya  kita perlu mengawasi perlaksanaan dan penyesuaian dan penambah baikkan.

Contohnya ialah sebagaimana yang saya sendiri amalkan seperti berikut:

Apabila saya menghadapi sesuatu masalah, saya biasanya menulis laporan penyelesaian masalah setelah perasaan dan tekanan menjadi reda. Kemudian lama kelamaan saya menyimpan koleksi laporan penyelesaian masalah yang banyak yang boleh menjadi penilaian dan penambah baikkan pada masa depan jika masalah yang sama berulang, dengan itu saya dapat membawa dan menyelesaikan masalah sendiri tanpa mengganggu orang lain.

Selain itu saya juga seorang ahli dalam Jemaah Dakwah Tabligh, saya terlibat dalam gerakan Jemaah Tabligh setelah saya memeluk Islam. Dan pengalaman saya dalam Tabligh tidaklah mendalam, saya sekadar pengalaman tiga kali keluar empat puluh hari. Antara masalah yang perlu saya pertimbangkan ialah masyarakat kita masih merasa asing tentang Jemaah Tabligh dan kesilapan yang dilakukan oleh pendakwah tabligh boleh menyebabkan salah faham, dan apakah yang perlu saya lakukan setelah keluar dalam masyarakat dan bekerja nanti. Yang pertama saya perlu menyenaraikan tugas dalam bidang kerja yang saya ceburi nanti berserta kerja tabligh yang mampu saya lakukan dalam keadaan saya bekerja dan berumah tangga sedangkan pengalaman tabligh tidak mendalam. Kemudian untuk mengelakkan salah faham saya perlu mengutamakan tugas saya dalam bidang kerja yang diceburi dengan tidak meninggalkan langsung kerja tabligh setakat yang mampu saya lakukan. Dan saya juga perlu mewujudkan banyak jaringan sosial dengan pelbagai gerakan dakwah samada PAS, NGO-NGO dan IPT dalam negeri atau luar negara dengan tetap menjaga hubungan dengan Jemaah Tabligh. Seterusnya saya perlu sentiasa membuat pembinaan diri dan penambah baikkan dari segi pemahaman dan penghayatan agama Islam, penjagaan kesihatan mental dan hubungan dengan masyarakat majmuk.

Seterusnya dalam Persatuan Mahasiswa dan Jawatankuasa Tindakan Kolej Kediaman di Institut Pengajian Tinggi, setiap mahasiswa dimanfaatkan dengan optimum dalam memimpin persatuan. Setiap ahli jawatankuasa diberikan tugas berdasarkan bakat dan kebolehannya. Di bawah Persatuan Mahasiswa dan Jawatankuasa Tindakan Kolej Kediaman ada diwujudkan unit-unit dan biro-biro untuk membahagikan tugasan dan melancarkan gerakkan pelajar. Selepas Pilihan Raya Kampus akan di adakan Muktamar supaya penambah baikkan dapat dibuat oleh pimpinan baru hasil daripada persidangan bekas pimpinan dengan pelajar. Dan akhirnya untuk menyelaraskan pergerakan pimpinan pelajar dan pelaksanaan projek kerja maka perjumpaan Liqa’ dan usrah akan dibuat di kalangan kepimpinan.

Kemudian dalam pengurusan sesebuah masjid yang pertama Majlis Agama Daerah akan membuat pelantikan ahli jawatankuasa masjid di setiap masjid mukim. Setiap ahli jawatan kariah dilantik berdasarkan kebolehan dan sahsiahnya berdasarkan pemerhatian pemantau dari majlis agama. Setiap ahli jawatankuasa masjid perlu mengetepikan perbezaan fahaman politik supaya perjalanan aktiviti dan program masjid berjalan lancar. Di bawah jawatankuasa masjid akan diwujudkan unit dan biro untuk membahagikan tugasan dan melancarkan amalan masjid. Mesyuarat perlu dibuat untuk menyelaraskan dan melaksanakan program amalan masjid. Untuk memelihara kehormatan masjid dan supaya pembaziran air dan elektrik tidak berlaku maka pihak masjid dan majlis agama perlu mengeluarkan makluman tentang adab-adab masjid dan menguruskan serta memantau pergerakan Jemaah Tabligh di setiap daerah dan mukim. Dan bagi jemaah tabligh yang bergerak dan ingin beriktikaf di masjid dan surau, mereka perlu mendapat surat kebenaran dan mengisi borang beriktikaf di masjid kemudian mengemukakannya kepada pihak masjid apabila keluar tabligh di masjid tersebut.  

Keperluan latihan kepada pekerja di abad ke-21.

Pada abad ke-21 memperlihatkan perkembangan pesat dalam setiap sektor pekerjaan yang menekankan pembinaan modal insan melalui latihan kepada pekerja.

Pekerja yang telah menjalani latihan dipercayai memperoleh pengalaman dan pendedahan yang secukupnya untuk menjalankan kerjanya dengan mahir, ini dapat mengurangkan masa pembelajaran bagi pekerja-pekerja baru untuk melaksanakan tugas yang diharapkan oleh organisasi tersebut.
Pekerja perlu menjalani beberapa sesi latihan yang baru secara berperingkat untuk mendalami kepakaran dalam tugas yang dilaksanakan supaya mereka dapat memperbaiki kualiti perlaksanaan tugasan agar tugas tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih berinovatif.

Melalui sesi latihan yang disertai oleh pekerja, pekerja mendapat motivasi dan galakan untuk membantu mereka membentuk sikap kerja yang lebih positif. Dengan latihan tersebut pekerja dapat melakukan kerja mereka dengan semangat kerjasama dan kesetiaan yang tinggi kepada organisasi.
Pekerja yang mempunyai masalah dalam mengendalikan tugasnya perlu menjalani latihan secara bertubi-tubi untuk membentuk gaya hidup yang sihat, sahsiah yang baik,dan keterampilan diri yang positif di kalangan pekerja yang bermasalah. Dengan itu majikan dapat membuat pemantauan untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam sesebuah organisasi terutamanya masalah penghayatan agama, masalah kehadiran kerja, masalah kesihatan pekerja, masalah produktiviti, dan masalah dalam pengendalian tugas.

Setiap organisasi perlu melaksanakan siri latihan pekerja untuk mengeluarkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang kerja tersebut malahan setiap organisasi perlu memenuhi keperluan tenaga kerja yang perlu dibangunkan setiap masa.

Melalui latihan yang dilalui pekerja, mereka tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk mendapat pengalaman kerja, dengan itu latihan memberikan keuntungan kepada pekerja kerana melalui latihan mereka dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka, di samping diri mereka juga mempunyai nilai tambahan.

10 sebab mengapa Modal Insan penting kepada pembangunan Negara.

Nagara kita Malaysia berhasrat untuk mencapai wawasan 2020 sebagai sebuah Nagara maju, pemimpin negara kita menekankan pembinaan Modal Insan sebagai aspek penting untuk pembangunan Negara.

Pembinaan Modal Insan penting kerana manusia bukan sahaja dibina dari sudut fizikal malah “spiritual”, akal, minda serta pelbagai aspek dalaman lain juga perlu dimajukan.
Pembinaan Modal Insan juga penting kerana ia merupakan acuan yang sesuai digunakan bagi memastikan insan yang dibina mampu menjadikan minda dan tindakan mereka bertepatan dengan kehendak agama.

Pembinaan Modal Insan perlu digilap, dipantau dan dipimpin sejak di peringkat awal lagi supaya pembangunan sumber manusia adalah berdasarkan landasan Islam yang meletakkan proses pembangunan menerusi landasan akidah, syariah dan akhlak.
Untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat, pembangunan Modal Insan merupakan aset penting yang perlu dijana sebaik mungkin supaya dapat diterjemahkan melalui kekuatan jasmani, rohani dan akal.

Pembinaan Modal Insan yang membezakan antara masyarakat bertamadun dengan masyarakat yang tidak bertamadun kerana peningkatan produktiviti pekerjaan akan melahirkan tenaga kerja yang menggunakan kekuatan modal insan secara optimum dn insentif.

Pembinaan modal insan merupakan sistem yang lengkap yang mengambil faktor bermanfaat yang pelbagai untuk mencapai pembangunan akliah dari segi sains dan teknologi serta pembangunan akhlak insan supaya kegagalan dalam beberapa strategi dalam memanfaatkan projek pembangunan tidak berlaku.

Perhatian dalam pembinaan modal insan perlu diambil serius untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat yang bertujuan untuk mendekatkan ruang perbezaan antara rakyat terutamanya dari sudut ekonomi.

Pembinaan modal insan merupakan pra-syarat penting dalam memacu pertumbuhan rantaian ekonomi dengan berpaksikan pengetahuan serta teknologi.

Selain itu dalam era mengangkasakan bangsa, maka pembinaan generasi modal insan yang mengenal diri dan menginsafi diri perlu direalisasikan.

Dalam usaha mencapai wawasan negara maju menjelang 2020, pembinaan modal insan penting untuk melahirkan rakyat yang mempunyai minda kelas pertama supaya pelbagai masalah seperti pengangguran, dilema pekerja asing, penagihan dadah dan pelbagai masalah dapat diselesaikan.

Kesimpulannya, pembinaan modal insan membolehkan matlamat serta visi Negara dapat dicapai dan kelangsungannya dapat dijamin supaya pembangunan modal insan boleh dipertingkatkan oleh generasi yang akan datang. Diharap melalui usaha ini dapat mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan taraf pekerjaan seiring dengan tahap ekonomi Negara yang tidak memberangsangkan. Seterusnya memerangi kemiskinan tegar dan membebaskan Negara daripada bebanan ekonomi yang tidak seimbang.

kepentingan penilaian prestasi kepada organisasi.

Setiap organisasi berhajatkan pembangunan sumber manusia yang berterusan supaya perjalanan sesebuah organisasi dapat diteruskan. Oleh itu penilaian prestasi perlu dibuat kerana beberapa kepentingannya dalam pergerakan organisasi.

Penilaian prestasi perlu dibuat untuk memberikan profil yang tepat tentang kelebihan dan kekurangan sumber manusia supaya pimpinan organisasi dapat mengenal pasti para pekerja yang boleh diberikan tugas dan tanggungjawab yang lebih tinggi agar perancangan sumber manusia dapat diperbaiki.
Dalam merekrut dan mengambil kakitangan baru, penilaian prestasi dibuat bagi menelaah dan meramal prestasi calon-calon pekerja dan maklumat prestasi pekerja boleh digunakan untuk memperbaiki sistem rekrut dan pengambilan kakitangan dan dapat digunakan dalam proses perekrutan pekerja dalam organisasi untuk masa hadapan.

Pembangunan sumber manusia merupakan aspek penting yang perlu dirancang oleh sesebuah organisasi, oleh itu penilaian prestasi dibuat untuk mengenal pasti keperluan-keperluan, kelemahan dan kekuatan kakitangan. Seterusnya pihak pimpinan organisasi dapat merangka kursus dan latihan yang sewajarnya untuk mereka. Akhirnya  prestasi kerja mereka dapat ditingkatkan dan pembangunan sumber manusia dapat diperbaiki.

Maklumat penilaian prestasi yang dibuat oleh organisasi memberikan gambaran yang jelas tentang kekuatan dan kelemahan seseorang kakitangan supaya urusan kenaikan pangkat, pertukaran tempat kerja dan sebagainya dapat memperbaiki perancangan dan pembangunan kerjaya mereka.
Setiap organisasi perlu membuat keputusan bersabit ganjaran kakitangan seperti kenaikan gaji dan sebagainya supaya kakitangan lebih bermotivasi untuk meneruskan sumbangan mereka kepada organisasi. Oleh itu penilaian prestasi perlu dibuat dengan adil dan sistem penilaian prestasi yang saksama perlu dibentuk supaya pihak pimpinan organisasi dapat memberikan ganjaran yang wajar kepada pekerja yang paling produktif dan seterusnya memperbaiki program pampasan.

Kemahiran yang perlu ada pada seseorang pemimpin.

Pemimpin dan kepimpinan merupakan tonggak utama dalam menggerakkan perjalanan negara, organisasi, masyarakat dan keluarga. Oleh kerana kepimpinan merupakan tanggungjawab bukannya kemuliaan yang diberikan kepada seseorang pemimpin maka seseorang pemimpin perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang lengkap supaya dapat membawa perubahan dan transformasi, bukan sahaja dapat berjaya dalam kepimpinannya seterusnya mengukuhkan tampuk kepimpinannya.

Seorang pemimpin perlu ada kemahiran jangkaan supaya mereka dapat membuat jangkaan dalam menghadapi perubahan persekitaran serta sesuatu perubahan dapat direalisasikan dengan licin dan lancar. Contohnya dalam Jemaah sesuatu gerakan dakwah pemimpin gerakan dakwah perlu membuat jangkahan dalam menghadapi perubahan suasana dan latar belakang sasaran dakwah dengan mengambil perubahan kaedah dakwah yang sesuai untuk sasaran dakwah tersebut.

Seorang pemimpin juga perlu ada kemahiran wawasan supaya mereka berupaya mempengaruhi khalayak ramai dan rakyat untuk memahami dan menghayati wawasan yang ingin dicapai. Contohnya dalam pemerintahan negara kita oleh beberapa perdana menteri, perdana menteri telah menetapkan beberapa wawasan yang ingin dicapai pada masa akan datang, umpamanya semasa Dr. Tun Mahathir sebagai perdana menteri dibuat wawasan 2020, seterusnya semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi dibuat konsep Islam Hadhari. Mereka telah berjaya mempengaruhi rakyat untuk memahami dan menghayati wawasan yang ingin dicapai.

Seterusnya, seorang pemimpin perlu ada kemahiran menyesuaikan nilai dan sifat serta watak bagi menghadapi perubahan supaya mereka yang dipimpin akan mudah menyesuaikan diri dengan perubahan yang ingin dibawa. Contohnya pemimpin negara kita dapat menyesuaikan nilai, sifat dan watak masyarakat pelbagai kaum, agama dan kebudayaan di negara ini bagi menetapkan hala tuju nagara ke arah transformasi rakyat dan perpaduan kaum di negara ini menyebabkan rakyat dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang ingin dibawa.

Seseorang pemimpin perlu ada kemahiran menggunakan kuasa dan pengaruh iaitu kemampuan berkongsi kuasa dan menurunkan kuasa kepada orang bawahannya. Contohnya dalam konteks Raja Berperlembagaan di negara kita, Yang Dipertuan Agong ditabalkan daripada Raja-raja Melayu yang berkongsi kuasa dalam Majlis Raja-raja kemudiannya menteri-menteri di peringkat parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri menurunkan kuasa kepada orang bawahannya.

Seseorang pemimpin perlu ada kemahiran memahami diri sendiri dan orang lain supaya mereka boleh menyesuaikan kehendak, keperluan, kekuatan dan kelemahan diri dengan keperluan dan tuntutan organisasi dan membolehkannya memanfaatkan orang lain demi mencapai matlamat organisasi secara bersama. Contohnya dalam gerakan Islam seorang kader dakwah perlu menyesuaikan kehendak, keperluan, kekuatan dan kelemahan diri dengan keperluan dan tuntutan organisasi. Seterusnya mereka dapat memanfaatkan rakan-rakan seperjuangan mereka untuk mencapai matlamat organisasi secara bersama.

Seterusnya seorang pemimpin yang berkesan dapat dilihat pada kemampuan pemimpin tersebut dalam menguasai komunikasi dengan mereka yang dipimpin, iaitu pemimpin perlu ada keyakinan bahawa komunikasi yang berkesan membolehkan mereka berbicara dengan tepat, berkesan, dapat berbicara dalam suasana selesa dan menerangkan apa yang ingin disampaikan dengan cukup meyakinkan. Oleh itu pemimpin perlu ada kemahiran mendengar yang tinggi. Pemimpin juga perlu ada kemahiran bertanya dan mendorong mereka yang dipimpin dengan menggunakan arahan tanpa terlalu menggunakan bahasa ‘mengarah’ dan ‘menyuruh’. Mereka juga perlu menjaga maruah dan air muka khalayak dan bersikap terbuka terhadap pelbagai maklumat serta memberi fakta yang tepat dan alasan yang rasional terhadap sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.

Kemudian seorang pemimpin perlu ada kemahiran berfikir dalam berpolitik supaya organisasi dapat berjalan secara dinamik dan sentiasa berkembang, mereka juga perlu menguasai selok-belok kepimpinan, keperibadian yang berkaliber, kemampuan mengendalikan kuasa dan kemampuan untuk menarik minat orang ramai.

Pemimpin juga perlu ada kemahiran kemanusiaan kerana pemimpin merupakan contoh teladan yang baik, mereka perlu menjaga hubungan dengan menitikberatkan kebajikan dan bertindak adil dalam masalah orang ramai. Apabila sesuatu masalah itu memerlukan perbincangan dengan orang ramai, pemimpin perlu meminta pandangan dan menghormati pandangan orang ramai. Mereka yang dipimpin perlu diberikan latihan oleh pemimpin, seterusnya pemimpin perlu ada keyakinan terhadap kemampuan mereka yang dipimpin serta mengawasi dan memerhati mereka.

Seorang pemimpin perlu mempunyai kepakaran dalam melaksanakan tugas dengan cekap menggunakan segala sumber yang ada untuk mencapai matlamat organisasi. Oleh yang demikian, pemimpin perlu meyakini matlamat yang dirancang dapat disampaikan kepada pengetahuan warga organisasi. Pemimpin perlu ada keupayaan merancang dan menyusun kerja serta bertanggungjawab memajukan organisasi dan berpandangan jauh.

Kesimpulannya, kepimpinan yang berkesan bukan hanya memiliki kemahiran yang tertentu tetapi juga memerlukan sejumlah sifat yang unggul yang bersendikan nilai dan akhlak yang dibekalkan oleh agama. Maka pemimpin yang berkesan ialah mereka yang melaksanakan tugas dengan amanah dan boleh diharapkan. Mereka bukan sahaja bermanfaat untuk dirinya malahan untuk orang lain, organisasi dan warga manusia sejagat.

Perekrutan itu penting dalam sesebuah organisasi.

Pengambilan dan pemilihan pekerja ini adalah merupakan satu fungsi pengurusan sumber manusia yang penting. Antara kepentingan perekrutan dalam sesebuah organisasi ialah perekrutan memberikan kesan terhadap kualiti pekerja-pekerja yang akan dipilih untuk sesebuah organisasi itu.
Perekrutan penting kerana kualiti pekerja banyak bergantung daripada kualiti rekrut yang disediakan mengikut beberapa spesifikasi yang diperlukan oleh sesebuah organisasi.

Melalui pengambilan pekerja yang melibatkan aktiviti-aktiviti tertentu membolehkan pemohon yang berkelayakan memohon jawatan kosong di sesebuah organisasi yang mereka pilih. Perekrutan membolehkan sesebuah organisasi itu mengisi jawatan kosong dengan pekerja mereka sendiri atau dengan mengambil pekerja dari luar organisasi. Kaedah-kaedah untuk merekrut pekerja yang dipilih dari luar organisasi termasuk rujukan pekerja, pengiklanan, agensi pekerjaan dan perekrutan. Setiap kaedah ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri.

 Tugas Pengrekrutan dan pemilihan pekerja dipengaruhi oleh faktor-faktor organisasi seperti dasar pampasan, suasana kerja dan imej korporat organisasi.

 Proses pemilihan pekerja biasanya bermula dengan mengisi borang permohonan. Borang ini memungkinkan pihak majikan memperoleh maklumat asas tentang diri pemohon. Kemudian organisasi biasanya akan mengehendaki pemohon mengikuti proses temu duga yang dijalankan. Temu duga ni bertujuan untuk memperoleh maklumat tambahan tentang diri pemohon serta memberikan sedikit maklumat tentang organisasi tersebut kepada pemohon. Selain itu, borang permohonan dan temu duga yang disediakan oleh organisasi itu dapat juga menentukan kesesuaian pemohon melalui ujian pemilihan, pemeriksaan latar belakang dan pemeriksaan fizikal. Kesemua faktor yang dijelaskan memerlukan pertimbangan yang sewajarnya dan bijaksana.

Perekrutan penting dalam sesebuah organisasi kerana sumber manusia adalah satu-satunya aset yang dapat membantu organisasi untuk menjadi lebih kompetitif. Ini adalah kritikal oleh sebabkan kesan globalisasi, kemajuan teknologi yang tidak dapat dijangkakan, dan ekpektasi yang lebih tinggi daripada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan ke atas kejayaan organisasi.

Perekrutan pekerja juga penting kerana tenaga pekerja adalah aset terpenting untuk menjayakan aktiviti-aktiviti komersial dalam sesebuah organisasi. Keupayaan sesebuah organisasi tersekat jika pekerja tidak komited, tidak mempunyai kebolehan dan pengetahuan yang mencukupi.

Dengan mengamalkan pendekatan secara sistematik kepada Pengrekrutan dan pemilihan, pekerja yang dipilih akan lebih baik dan berkemampuan yang lebih tinggi. Mereka akan mengetahui peranan mereka dengan lebih jelas. Dengan kesedaran ini, mereka akan dapat menyalurkan tenaga mereka dengan lebih efektif dalam menjalankan tugas masing-masing.

Dengan demikian, objektif Pengrekrutan dan pemilihan dalam organisasi dapat dicapai. Sesebuah organisasi itu berkemampuan untuk berjaya, dan pekerja yang dipilih dapat bertahan dalam masa panjang demi untuk kebaikan organisasi dan pekerja.

Peranan perekrutan dalam pengurusan Sumber Manusia amatlah perlu demi menjaga kedudukan pekerja di dalam perkhidmatan. Ini bermaksud bahawa hak pekerja perlu dihormati dan dijaga mengikut peruntukan undang-undang, dasar dan prosedur.

 Kepentingan perekrutan dalam pengurusan Sumber Manusia juga bertujuan untuk memastikan perubahan dilaksanakan dengan teratur dan diterima oleh semua pekerja.

Perekrutan pekerja menjadi tempat rujukan oleh pengurus barisan hadapan kerana kepakaran yang terdapat pada pengurusan Sumber Manusia dan menjadikan dirinya dan setiap pekerja terutama sekali pekerja berjawatan penting sebagai rakan strategik perniagaan organisasi.

Kepentingan prinsip Mas’uliyah terhadap sesebuah organisasi.

Prinsip al-Masuliyah merupakan prinsip pengurusan Islam yang keenam. Secara ringkap al-Mas’uliyah merujuk kepada sifat tanggungjawab seseorang terhadap amanah dan tugas yang diberikan kepadanya. Melalui rasa bertanggungjawab ini bakal membuahkan sikap melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin. Sebenarnya di dalam Islam sifat mas’uliyah ini begitu meluas, ini kerana mas’uliyah bukan hanya tertumpu kepada tanggungjawab kepada sesama manusia, malahan tanggungjawab kepada Allah yang Maha Kuasa dan Maha Melihat.

Di dalam prinsip mas’uliyah ini terdapat beberapa kepentingan dan keutamaannya yang tersendiri terhadap organisasi, antara kepentingan tersebut ialah:

Mas’uliyah akan mewujudkan sikap positif di kalingan warga organisasi. Oleh itu setiap arahan dan amanah yang diberikan oleh kepimpinan akan dilaksanakan oleh orang bawahan tanpa perlu kerap di arah malahan ia dilaksanakan atas dasar tanggungjawab.

Melalui penghayatan sifat mas’uliyah ini dapat mengurangkan keperluan pengawasan secara luaran daripada pihak atasan terhadap orang bawahan mereka kerana mereka sentiasa merasakan diri mereka diawasi oleh Allah.

Seterusnya warga sesebuah organisasi akan menjadi lebih setia dan amanah terhadap organisasi kerana mereka tidak akan melakukan pelbagai amalan yang merosakkan kepada organisasi, masyarakat, dan negara.

Sifat mas’uliyah ini juga akan melahirkan pekerja yang komited terhadap tugas yang diberikan. Di mana mereka akan melakukan tugasan dengan sebaik mungkin berdasarkan kemampuan yang ada pada diri masing-masing.


Kesimpulannya, prinsip mas’uliyah ini merupakan pelengkap kepada prinsip kebebasan yang dinyatakan dalam pengurusan Islam. Hal ini kerana kebebasan di dalam Islam harus diimbangi oleh sifat tanggungjawab sebaliknya kebebasan tanpa tanggungjawab merupakan kebebasan yang akan merosakkan bukan hanya kepada individu malahan kepada masyarakat, organisasi dan seterusnya.

No comments:

Post a Comment