Proses pengorganisasian
dan penyusunan dalam pengurusan.
Proses
pengorganisasian adalah proses penentuan penggunaan tenaga, terutamanya tenaga
manusia yang perlu di manfaatkan dalam sesuatu organisasi atau sesuatu
pergerakan supaya ianya dapat diurus dan disusun dengan rapi agar matlamat
organisasi dan gerakan dapat tercapai.
Antara
kepentingan proses pengorganisasian ialah: kita memanfaatkan semua tenaga dan
sumber manusia secara optimum; warga sesuatu organisasi disusun dan diberikan
tugas secara tepat dan sesuai dengan kebolehan masing-masing; kebakatan dan kepotensian
yang ada pada setiap orang perlu dimanfaatkan; seterusnya kita perlu berusaha
untuk mengelakkan pembaziran penggunaan tenaga dan kewangan; kemudian
penyelarasan perlu diwujudkan supaya tidak berlaku pertindihan dan
pertembungan; dan penambahbaikan juga perlu dibuat supaya dapat menyesuaikan
diri dan gerakan dengan faktor semasa dan perkembangan terkini; akhirnya
matlamat dan objektif organisasi dan gerakan dapat tercapai.
Manakala antara
proses penyusunan ialah: kita hendaklah menyenaraikan semua tugas dan kerja
yang perlu dibuat; kita dapat membuat pembahagian tugas yang perlu kita lakukan
secara bijaksana; kita juga perlu mewujudkan unit-unit dan jabatan-jabatan
dalam organisasi kita; seterusnya kita mewujudkan penyelarasan dalam
organisasi; dan akhirnya kita perlu
mengawasi perlaksanaan dan penyesuaian dan penambah baikkan.
Contohnya ialah
sebagaimana yang saya sendiri amalkan seperti berikut:
Apabila saya
menghadapi sesuatu masalah, saya biasanya menulis laporan penyelesaian masalah
setelah perasaan dan tekanan menjadi reda. Kemudian lama kelamaan saya
menyimpan koleksi laporan penyelesaian masalah yang banyak yang boleh menjadi
penilaian dan penambah baikkan pada masa depan jika masalah yang sama berulang,
dengan itu saya dapat membawa dan menyelesaikan masalah sendiri tanpa
mengganggu orang lain.
Selain itu saya
juga seorang ahli dalam Jemaah Dakwah Tabligh, saya terlibat dalam gerakan
Jemaah Tabligh setelah saya memeluk Islam. Dan pengalaman saya dalam Tabligh
tidaklah mendalam, saya sekadar pengalaman tiga kali keluar empat puluh hari.
Antara masalah yang perlu saya pertimbangkan ialah masyarakat kita masih merasa
asing tentang Jemaah Tabligh dan kesilapan yang dilakukan oleh pendakwah
tabligh boleh menyebabkan salah faham, dan apakah yang perlu saya lakukan
setelah keluar dalam masyarakat dan bekerja nanti. Yang pertama saya perlu
menyenaraikan tugas dalam bidang kerja yang saya ceburi nanti berserta kerja
tabligh yang mampu saya lakukan dalam keadaan saya bekerja dan berumah tangga
sedangkan pengalaman tabligh tidak mendalam. Kemudian untuk mengelakkan salah
faham saya perlu mengutamakan tugas saya dalam bidang kerja yang diceburi
dengan tidak meninggalkan langsung kerja tabligh setakat yang mampu saya
lakukan. Dan saya juga perlu mewujudkan banyak jaringan sosial dengan pelbagai
gerakan dakwah samada PAS, NGO-NGO dan IPT dalam negeri atau luar negara dengan
tetap menjaga hubungan dengan Jemaah Tabligh. Seterusnya saya perlu sentiasa
membuat pembinaan diri dan penambah baikkan dari segi pemahaman dan penghayatan
agama Islam, penjagaan kesihatan mental dan hubungan dengan masyarakat majmuk.
Seterusnya
dalam Persatuan Mahasiswa dan Jawatankuasa Tindakan Kolej Kediaman di Institut
Pengajian Tinggi, setiap mahasiswa dimanfaatkan dengan optimum dalam memimpin
persatuan. Setiap ahli jawatankuasa diberikan tugas berdasarkan bakat dan
kebolehannya. Di bawah Persatuan Mahasiswa dan Jawatankuasa Tindakan Kolej
Kediaman ada diwujudkan unit-unit dan biro-biro untuk membahagikan tugasan dan
melancarkan gerakkan pelajar. Selepas Pilihan Raya Kampus akan di adakan
Muktamar supaya penambah baikkan dapat dibuat oleh pimpinan baru hasil daripada
persidangan bekas pimpinan dengan pelajar. Dan akhirnya untuk menyelaraskan
pergerakan pimpinan pelajar dan pelaksanaan projek kerja maka perjumpaan Liqa’
dan usrah akan dibuat di kalangan kepimpinan.
Kemudian dalam
pengurusan sesebuah masjid yang pertama Majlis Agama Daerah akan membuat
pelantikan ahli jawatankuasa masjid di setiap masjid mukim. Setiap ahli jawatan
kariah dilantik berdasarkan kebolehan dan sahsiahnya berdasarkan pemerhatian
pemantau dari majlis agama. Setiap ahli jawatankuasa masjid perlu mengetepikan
perbezaan fahaman politik supaya perjalanan aktiviti dan program masjid
berjalan lancar. Di bawah jawatankuasa masjid akan diwujudkan unit dan biro
untuk membahagikan tugasan dan melancarkan amalan masjid. Mesyuarat perlu
dibuat untuk menyelaraskan dan melaksanakan program amalan masjid. Untuk
memelihara kehormatan masjid dan supaya pembaziran air dan elektrik tidak
berlaku maka pihak masjid dan majlis agama perlu mengeluarkan makluman tentang
adab-adab masjid dan menguruskan serta memantau pergerakan Jemaah Tabligh di
setiap daerah dan mukim. Dan bagi jemaah tabligh yang bergerak dan ingin
beriktikaf di masjid dan surau, mereka perlu mendapat surat kebenaran dan
mengisi borang beriktikaf di masjid kemudian mengemukakannya kepada pihak
masjid apabila keluar tabligh di masjid tersebut.
Keperluan latihan
kepada pekerja di abad ke-21.
Pada abad ke-21
memperlihatkan perkembangan pesat dalam setiap sektor pekerjaan yang menekankan
pembinaan modal insan melalui latihan kepada pekerja.
Pekerja yang
telah menjalani latihan dipercayai memperoleh pengalaman dan pendedahan yang
secukupnya untuk menjalankan kerjanya dengan mahir, ini dapat mengurangkan masa
pembelajaran bagi pekerja-pekerja baru untuk melaksanakan tugas yang diharapkan
oleh organisasi tersebut.
Pekerja perlu
menjalani beberapa sesi latihan yang baru secara berperingkat untuk mendalami
kepakaran dalam tugas yang dilaksanakan supaya mereka dapat memperbaiki kualiti
perlaksanaan tugasan agar tugas tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih
berinovatif.
Melalui sesi
latihan yang disertai oleh pekerja, pekerja mendapat motivasi dan galakan untuk
membantu mereka membentuk sikap kerja yang lebih positif. Dengan latihan
tersebut pekerja dapat melakukan kerja mereka dengan semangat kerjasama dan
kesetiaan yang tinggi kepada organisasi.
Pekerja yang
mempunyai masalah dalam mengendalikan tugasnya perlu menjalani latihan secara
bertubi-tubi untuk membentuk gaya hidup yang sihat, sahsiah yang baik,dan
keterampilan diri yang positif di kalangan pekerja yang bermasalah. Dengan itu
majikan dapat membuat pemantauan untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam
sesebuah organisasi terutamanya masalah penghayatan agama, masalah kehadiran
kerja, masalah kesihatan pekerja, masalah produktiviti, dan masalah dalam
pengendalian tugas.
Setiap
organisasi perlu melaksanakan siri latihan pekerja untuk mengeluarkan tenaga
kerja yang mahir dalam bidang kerja tersebut malahan setiap organisasi perlu
memenuhi keperluan tenaga kerja yang perlu dibangunkan setiap masa.
Melalui latihan
yang dilalui pekerja, mereka tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk
mendapat pengalaman kerja, dengan itu latihan memberikan keuntungan kepada
pekerja kerana melalui latihan mereka dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan
kemahiran mereka, di samping diri mereka juga mempunyai nilai tambahan.
10 sebab
mengapa Modal Insan penting kepada pembangunan Negara.
Nagara kita
Malaysia berhasrat untuk mencapai wawasan 2020 sebagai sebuah Nagara maju,
pemimpin negara kita menekankan pembinaan Modal Insan sebagai aspek penting
untuk pembangunan Negara.
Pembinaan Modal
Insan penting kerana manusia bukan sahaja dibina dari sudut fizikal malah
“spiritual”, akal, minda serta pelbagai aspek dalaman lain juga perlu
dimajukan.
Pembinaan Modal
Insan juga penting kerana ia merupakan acuan yang sesuai digunakan bagi
memastikan insan yang dibina mampu menjadikan minda dan tindakan mereka
bertepatan dengan kehendak agama.
Pembinaan Modal
Insan perlu digilap, dipantau dan dipimpin sejak di peringkat awal lagi supaya
pembangunan sumber manusia adalah berdasarkan landasan Islam yang meletakkan
proses pembangunan menerusi landasan akidah, syariah dan akhlak.
Untuk mencapai
kejayaan di dunia dan di akhirat, pembangunan Modal Insan merupakan aset
penting yang perlu dijana sebaik mungkin supaya dapat diterjemahkan melalui
kekuatan jasmani, rohani dan akal.
Pembinaan Modal
Insan yang membezakan antara masyarakat bertamadun dengan masyarakat yang tidak
bertamadun kerana peningkatan produktiviti pekerjaan akan melahirkan tenaga
kerja yang menggunakan kekuatan modal insan secara optimum dn insentif.
Pembinaan modal
insan merupakan sistem yang lengkap yang mengambil faktor bermanfaat yang
pelbagai untuk mencapai pembangunan akliah dari segi sains dan teknologi serta
pembangunan akhlak insan supaya kegagalan dalam beberapa strategi dalam
memanfaatkan projek pembangunan tidak berlaku.
Perhatian dalam
pembinaan modal insan perlu diambil serius untuk meningkatkan tahap penyampaian
perkhidmatan kepada rakyat yang bertujuan untuk mendekatkan ruang perbezaan
antara rakyat terutamanya dari sudut ekonomi.
Pembinaan modal
insan merupakan pra-syarat penting dalam memacu pertumbuhan rantaian ekonomi
dengan berpaksikan pengetahuan serta teknologi.
Selain itu
dalam era mengangkasakan bangsa, maka pembinaan generasi modal insan yang
mengenal diri dan menginsafi diri perlu direalisasikan.
Dalam usaha
mencapai wawasan negara maju menjelang 2020, pembinaan modal insan penting
untuk melahirkan rakyat yang mempunyai minda kelas pertama supaya pelbagai
masalah seperti pengangguran, dilema pekerja asing, penagihan dadah dan
pelbagai masalah dapat diselesaikan.
Kesimpulannya,
pembinaan modal insan membolehkan matlamat serta visi Negara dapat dicapai dan
kelangsungannya dapat dijamin supaya pembangunan modal insan boleh
dipertingkatkan oleh generasi yang akan datang. Diharap melalui usaha ini dapat
mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan taraf pekerjaan seiring dengan
tahap ekonomi Negara yang tidak memberangsangkan. Seterusnya memerangi
kemiskinan tegar dan membebaskan Negara daripada bebanan ekonomi yang tidak
seimbang.
kepentingan
penilaian prestasi kepada organisasi.
Setiap
organisasi berhajatkan pembangunan sumber manusia yang berterusan supaya
perjalanan sesebuah organisasi dapat diteruskan. Oleh itu penilaian prestasi
perlu dibuat kerana beberapa kepentingannya dalam pergerakan organisasi.
Penilaian
prestasi perlu dibuat untuk memberikan profil yang tepat tentang kelebihan dan
kekurangan sumber manusia supaya pimpinan organisasi dapat mengenal pasti para
pekerja yang boleh diberikan tugas dan tanggungjawab yang lebih tinggi agar
perancangan sumber manusia dapat diperbaiki.
Dalam merekrut
dan mengambil kakitangan baru, penilaian prestasi dibuat bagi menelaah dan
meramal prestasi calon-calon pekerja dan maklumat prestasi pekerja boleh
digunakan untuk memperbaiki sistem rekrut dan pengambilan kakitangan dan dapat
digunakan dalam proses perekrutan pekerja dalam organisasi untuk masa hadapan.
Pembangunan
sumber manusia merupakan aspek penting yang perlu dirancang oleh sesebuah
organisasi, oleh itu penilaian prestasi dibuat untuk mengenal pasti
keperluan-keperluan, kelemahan dan kekuatan kakitangan. Seterusnya pihak
pimpinan organisasi dapat merangka kursus dan latihan yang sewajarnya untuk
mereka. Akhirnya prestasi kerja mereka
dapat ditingkatkan dan pembangunan sumber manusia dapat diperbaiki.
Maklumat
penilaian prestasi yang dibuat oleh organisasi memberikan gambaran yang jelas
tentang kekuatan dan kelemahan seseorang kakitangan supaya urusan kenaikan
pangkat, pertukaran tempat kerja dan sebagainya dapat memperbaiki perancangan
dan pembangunan kerjaya mereka.
Setiap
organisasi perlu membuat keputusan bersabit ganjaran kakitangan seperti
kenaikan gaji dan sebagainya supaya kakitangan lebih bermotivasi untuk
meneruskan sumbangan mereka kepada organisasi. Oleh itu penilaian prestasi
perlu dibuat dengan adil dan sistem penilaian prestasi yang saksama perlu
dibentuk supaya pihak pimpinan organisasi dapat memberikan ganjaran yang wajar
kepada pekerja yang paling produktif dan seterusnya memperbaiki program
pampasan.
Kemahiran yang
perlu ada pada seseorang pemimpin.
Pemimpin dan
kepimpinan merupakan tonggak utama dalam menggerakkan perjalanan negara,
organisasi, masyarakat dan keluarga. Oleh kerana kepimpinan merupakan
tanggungjawab bukannya kemuliaan yang diberikan kepada seseorang pemimpin maka
seseorang pemimpin perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang lengkap
supaya dapat membawa perubahan dan transformasi, bukan sahaja dapat berjaya
dalam kepimpinannya seterusnya mengukuhkan tampuk kepimpinannya.
Seorang
pemimpin perlu ada kemahiran jangkaan supaya mereka dapat membuat jangkaan
dalam menghadapi perubahan persekitaran serta sesuatu perubahan dapat
direalisasikan dengan licin dan lancar. Contohnya dalam Jemaah sesuatu gerakan
dakwah pemimpin gerakan dakwah perlu membuat jangkahan dalam menghadapi
perubahan suasana dan latar belakang sasaran dakwah dengan mengambil perubahan
kaedah dakwah yang sesuai untuk sasaran dakwah tersebut.
Seorang
pemimpin juga perlu ada kemahiran wawasan supaya mereka berupaya mempengaruhi
khalayak ramai dan rakyat untuk memahami dan menghayati wawasan yang ingin
dicapai. Contohnya dalam pemerintahan negara kita oleh beberapa perdana
menteri, perdana menteri telah menetapkan beberapa wawasan yang ingin dicapai
pada masa akan datang, umpamanya semasa Dr. Tun Mahathir sebagai perdana menteri
dibuat wawasan 2020, seterusnya semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi dibuat konsep
Islam Hadhari. Mereka telah berjaya mempengaruhi rakyat untuk memahami dan
menghayati wawasan yang ingin dicapai.
Seterusnya,
seorang pemimpin perlu ada kemahiran menyesuaikan nilai dan sifat serta watak
bagi menghadapi perubahan supaya mereka yang dipimpin akan mudah menyesuaikan
diri dengan perubahan yang ingin dibawa. Contohnya pemimpin negara kita dapat
menyesuaikan nilai, sifat dan watak masyarakat pelbagai kaum, agama dan
kebudayaan di negara ini bagi menetapkan hala tuju nagara ke arah transformasi
rakyat dan perpaduan kaum di negara ini menyebabkan rakyat dapat menyesuaikan
diri dengan perubahan yang ingin dibawa.
Seseorang
pemimpin perlu ada kemahiran menggunakan kuasa dan pengaruh iaitu kemampuan
berkongsi kuasa dan menurunkan kuasa kepada orang bawahannya. Contohnya dalam
konteks Raja Berperlembagaan di negara kita, Yang Dipertuan Agong ditabalkan
daripada Raja-raja Melayu yang berkongsi kuasa dalam Majlis Raja-raja kemudiannya
menteri-menteri di peringkat parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri
menurunkan kuasa kepada orang bawahannya.
Seseorang
pemimpin perlu ada kemahiran memahami diri sendiri dan orang lain supaya mereka
boleh menyesuaikan kehendak, keperluan, kekuatan dan kelemahan diri dengan
keperluan dan tuntutan organisasi dan membolehkannya memanfaatkan orang lain
demi mencapai matlamat organisasi secara bersama. Contohnya dalam gerakan Islam
seorang kader dakwah perlu menyesuaikan kehendak, keperluan, kekuatan dan
kelemahan diri dengan keperluan dan tuntutan organisasi. Seterusnya mereka
dapat memanfaatkan rakan-rakan seperjuangan mereka untuk mencapai matlamat
organisasi secara bersama.
Seterusnya
seorang pemimpin yang berkesan dapat dilihat pada kemampuan pemimpin tersebut
dalam menguasai komunikasi dengan mereka yang dipimpin, iaitu pemimpin perlu
ada keyakinan bahawa komunikasi yang berkesan membolehkan mereka berbicara
dengan tepat, berkesan, dapat berbicara dalam suasana selesa dan menerangkan apa
yang ingin disampaikan dengan cukup meyakinkan. Oleh itu pemimpin perlu ada
kemahiran mendengar yang tinggi. Pemimpin juga perlu ada kemahiran bertanya dan
mendorong mereka yang dipimpin dengan menggunakan arahan tanpa terlalu
menggunakan bahasa ‘mengarah’ dan ‘menyuruh’. Mereka juga perlu menjaga maruah
dan air muka khalayak dan bersikap terbuka terhadap pelbagai maklumat serta
memberi fakta yang tepat dan alasan yang rasional terhadap sesuatu tindakan
yang ingin dilakukan.
Kemudian
seorang pemimpin perlu ada kemahiran berfikir dalam berpolitik supaya
organisasi dapat berjalan secara dinamik dan sentiasa berkembang, mereka juga
perlu menguasai selok-belok kepimpinan, keperibadian yang berkaliber, kemampuan
mengendalikan kuasa dan kemampuan untuk menarik minat orang ramai.
Pemimpin juga
perlu ada kemahiran kemanusiaan kerana pemimpin merupakan contoh teladan yang
baik, mereka perlu menjaga hubungan dengan menitikberatkan kebajikan dan
bertindak adil dalam masalah orang ramai. Apabila sesuatu masalah itu memerlukan
perbincangan dengan orang ramai, pemimpin perlu meminta pandangan dan
menghormati pandangan orang ramai. Mereka yang dipimpin perlu diberikan latihan
oleh pemimpin, seterusnya pemimpin perlu ada keyakinan terhadap kemampuan
mereka yang dipimpin serta mengawasi dan memerhati mereka.
Seorang
pemimpin perlu mempunyai kepakaran dalam melaksanakan tugas dengan cekap
menggunakan segala sumber yang ada untuk mencapai matlamat organisasi. Oleh
yang demikian, pemimpin perlu meyakini matlamat yang dirancang dapat
disampaikan kepada pengetahuan warga organisasi. Pemimpin perlu ada keupayaan
merancang dan menyusun kerja serta bertanggungjawab memajukan organisasi dan
berpandangan jauh.
Kesimpulannya,
kepimpinan yang berkesan bukan hanya memiliki kemahiran yang tertentu tetapi
juga memerlukan sejumlah sifat yang unggul yang bersendikan nilai dan akhlak
yang dibekalkan oleh agama. Maka pemimpin yang berkesan ialah mereka yang
melaksanakan tugas dengan amanah dan boleh diharapkan. Mereka bukan sahaja
bermanfaat untuk dirinya malahan untuk orang lain, organisasi dan warga manusia
sejagat.
Perekrutan itu
penting dalam sesebuah organisasi.
Pengambilan dan
pemilihan pekerja ini adalah merupakan satu fungsi pengurusan sumber manusia
yang penting. Antara kepentingan perekrutan dalam sesebuah organisasi ialah perekrutan
memberikan kesan terhadap kualiti pekerja-pekerja yang akan dipilih untuk
sesebuah organisasi itu.
Perekrutan
penting kerana kualiti pekerja banyak bergantung daripada kualiti rekrut yang
disediakan mengikut beberapa spesifikasi yang diperlukan oleh sesebuah
organisasi.
Melalui pengambilan
pekerja yang melibatkan aktiviti-aktiviti tertentu membolehkan pemohon yang
berkelayakan memohon jawatan kosong di sesebuah organisasi yang mereka pilih. Perekrutan
membolehkan sesebuah organisasi itu mengisi jawatan kosong dengan pekerja
mereka sendiri atau dengan mengambil pekerja dari luar organisasi.
Kaedah-kaedah untuk merekrut pekerja yang dipilih dari luar organisasi termasuk
rujukan pekerja, pengiklanan, agensi pekerjaan dan perekrutan. Setiap kaedah
ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri.
Tugas Pengrekrutan dan pemilihan pekerja
dipengaruhi oleh faktor-faktor organisasi seperti dasar pampasan, suasana kerja
dan imej korporat organisasi.
Proses pemilihan pekerja biasanya bermula
dengan mengisi borang permohonan. Borang ini memungkinkan pihak majikan
memperoleh maklumat asas tentang diri pemohon. Kemudian organisasi biasanya
akan mengehendaki pemohon mengikuti proses temu duga yang dijalankan. Temu duga
ni bertujuan untuk memperoleh maklumat tambahan tentang diri pemohon serta
memberikan sedikit maklumat tentang organisasi tersebut kepada pemohon. Selain
itu, borang permohonan dan temu duga yang disediakan oleh organisasi itu dapat
juga menentukan kesesuaian pemohon melalui ujian pemilihan, pemeriksaan latar
belakang dan pemeriksaan fizikal. Kesemua faktor yang dijelaskan memerlukan
pertimbangan yang sewajarnya dan bijaksana.
Perekrutan
penting dalam sesebuah organisasi kerana sumber manusia adalah satu-satunya
aset yang dapat membantu organisasi untuk menjadi lebih kompetitif. Ini adalah
kritikal oleh sebabkan kesan globalisasi, kemajuan teknologi yang tidak dapat
dijangkakan, dan ekpektasi yang lebih tinggi daripada pihak-pihak yang
mempunyai kepentingan ke atas kejayaan organisasi.
Perekrutan
pekerja juga penting kerana tenaga pekerja adalah aset terpenting untuk
menjayakan aktiviti-aktiviti komersial dalam sesebuah organisasi. Keupayaan
sesebuah organisasi tersekat jika pekerja tidak komited, tidak mempunyai
kebolehan dan pengetahuan yang mencukupi.
Dengan
mengamalkan pendekatan secara sistematik kepada Pengrekrutan dan pemilihan,
pekerja yang dipilih akan lebih baik dan berkemampuan yang lebih tinggi. Mereka
akan mengetahui peranan mereka dengan lebih jelas. Dengan kesedaran ini, mereka
akan dapat menyalurkan tenaga mereka dengan lebih efektif dalam menjalankan
tugas masing-masing.
Dengan
demikian, objektif Pengrekrutan dan pemilihan dalam organisasi dapat dicapai.
Sesebuah organisasi itu berkemampuan untuk berjaya, dan pekerja yang dipilih
dapat bertahan dalam masa panjang demi untuk kebaikan organisasi dan pekerja.
Peranan
perekrutan dalam pengurusan Sumber Manusia amatlah perlu demi menjaga kedudukan
pekerja di dalam perkhidmatan. Ini bermaksud bahawa hak pekerja perlu dihormati
dan dijaga mengikut peruntukan undang-undang, dasar dan prosedur.
Kepentingan perekrutan dalam pengurusan Sumber
Manusia juga bertujuan untuk memastikan perubahan dilaksanakan dengan teratur
dan diterima oleh semua pekerja.
Perekrutan
pekerja menjadi tempat rujukan oleh pengurus barisan hadapan kerana kepakaran
yang terdapat pada pengurusan Sumber Manusia dan menjadikan dirinya dan setiap
pekerja terutama sekali pekerja berjawatan penting sebagai rakan strategik
perniagaan organisasi.
Kepentingan prinsip
Mas’uliyah terhadap sesebuah organisasi.
Prinsip
al-Masuliyah merupakan prinsip pengurusan Islam yang keenam. Secara ringkap
al-Mas’uliyah merujuk kepada sifat tanggungjawab seseorang terhadap amanah dan
tugas yang diberikan kepadanya. Melalui rasa bertanggungjawab ini bakal
membuahkan sikap melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin. Sebenarnya
di dalam Islam sifat mas’uliyah ini begitu meluas, ini kerana mas’uliyah bukan
hanya tertumpu kepada tanggungjawab kepada sesama manusia, malahan
tanggungjawab kepada Allah yang Maha Kuasa dan Maha Melihat.
Di dalam
prinsip mas’uliyah ini terdapat beberapa kepentingan dan keutamaannya yang
tersendiri terhadap organisasi, antara kepentingan tersebut ialah:
Mas’uliyah akan
mewujudkan sikap positif di kalingan warga organisasi. Oleh itu setiap arahan
dan amanah yang diberikan oleh kepimpinan akan dilaksanakan oleh orang bawahan
tanpa perlu kerap di arah malahan ia dilaksanakan atas dasar tanggungjawab.
Melalui
penghayatan sifat mas’uliyah ini dapat mengurangkan keperluan pengawasan secara
luaran daripada pihak atasan terhadap orang bawahan mereka kerana mereka
sentiasa merasakan diri mereka diawasi oleh Allah.
Seterusnya
warga sesebuah organisasi akan menjadi lebih setia dan amanah terhadap
organisasi kerana mereka tidak akan melakukan pelbagai amalan yang merosakkan
kepada organisasi, masyarakat, dan negara.
Sifat
mas’uliyah ini juga akan melahirkan pekerja yang komited terhadap tugas yang
diberikan. Di mana mereka akan melakukan tugasan dengan sebaik mungkin
berdasarkan kemampuan yang ada pada diri masing-masing.
Kesimpulannya,
prinsip mas’uliyah ini merupakan pelengkap kepada prinsip kebebasan yang
dinyatakan dalam pengurusan Islam. Hal ini kerana kebebasan di dalam Islam harus
diimbangi oleh sifat tanggungjawab sebaliknya kebebasan tanpa tanggungjawab
merupakan kebebasan yang akan merosakkan bukan hanya kepada individu malahan
kepada masyarakat, organisasi dan seterusnya.