Bab 1 Sejarah Bahasa Melayu
Asal usul bahasa Melayu adalah daripada filum bahasa Austris. Filum bahasa Austris terpecah kepada dua rumpun bahasa yang besar, iaitu Austroasia dan rumpun Austronesia atau dahulunya sebagai Malayo-Polynesia atau Melayu-Polinasia. Pemecahan bahasa Austronesia kepada rumpun atau subkeluarga yang lebih kecil berlaku kemudian. Namun, para pengkaji berbeza pendapat dari segi proses pemecahannya. Sekurang-kurangnya ada beberapa pendapat dalam perkara ini, iaitu:
(a) Rumpun bahasa Austronesia terpecah kepada dua, iaitu Austronesia bahagian barat dan Oceania. Bahasa Oceania pula terbahagi kepada terbahagi kepada tiga, iaitu Melanesia, Mikronesia dan polinesia. Austronesia bahagian barat pula dikenali juga sebagai Hesperanesia yang bererti pulau-pulau barat atau ada yang menyebutnya sebagai Nusantara, dan tidak kurang juga yang menamakannya sebagai Indonesia.
(b) Rumpun bahasa Austronesia terbahagi kepada empat, iaitu Hesperanesia(Nusantara atau Indonesia), Melanesia, Mikronesia dan Polinesia.
(c) Rumpun bahasa Austronesia terbahagi kepada empat, iaitu Atayalik, Tsouik, Taiwanik dan Melayu-Polinasia. Melayu-polinesia terbahagi kepada dua keluarga, iaitu Barat ( Western atau dikenali sebagai Hesperanesia/Nusantara/Indonesia) dan Tengah-Timur ( Central – Eastern). Keluarga bahasa Tengah – Timur terbahagi kepada dua, iaitu Tengah yang melahirkan sekumpulan bahasa Nusa Tenggara dan Maluku dan Timur yang melahirkan dua subkumpulan bahasa, iaitu Halmahera Selatan – Irian Barat dan Oceania. Halmahera Selatan – Irian Barat terpecah kepada tiga, iaitu Mikronesia, Melanesia dan Polinesia.
Perbincangan di atas menunjukkan bahawa ada beberapa pendapat tentang salasilah dan punca bermulanya bahasa Melayu. Namun demikian, perbezaan tersebut adalah dari segi teknikal sahaja sedangkan kesemua mereka tetap mengaktakan dan mengakui bahawa orang-orang Melayu ialah penutur asli bahasa Melayu. Bahasa Melayu mempunyai penutur yang paling banyak jumlahnya berbanding dengan bahasa-bahasa yang sekeluarga dengannya seperti Melanesia, Mikronesia dan Polinesia. Bahasa Melayu terdapat di pantai timur Pulau Sumatera, iaitu dari Aceh Timur hingga ke Sumatera Selatan. Terdapat beberapa dialek Melayu seperti Temiang, Deli, Serdang, Langkat Asahan, Panai, Riau, Jambi, Kuantan, Palembang, Siak, Bengkulu, Bangka dan Belitung. Dialek-dialek ini ada yang terpecah kepada beberapa subdialek. Antara dialek tersebut ialah dialek Riau yang paling utama kerana daripada dialek ini lahirnya bahasa Indonesia. Di daerah Jambi, Palembang dan Riau terdapat banyak prasasti bahasa Melayu Kuno, manakala di Kepulauan Riau pula terdapat banyak manuskrip bahasa Melayu klasik.
Bahasa Melayu yang paling awal disebut sebagai bahasa Melayu Kuno yang wujud dalam kerajaan Sriwijaya dan Sailendra. Selepas itu pula, wujud bahasa Melayu Klasik seperti pada zaman Kerajaan Pasai – Samudera, Melaka dan seterusnya Johor lama. Dari zaman Johor lama timbul pula zaman bahasa Melayu Johor- Riau. Bahasa Melayu Johor – Riau terbahagi kepada dua, iaitu Johor dan Riau. Bahasa Melayu Johor berkembang di daerah Johor yang mewarisi daerah empayar Melaka dan dari situ menjadi bahasa Melayu yang digunakan di Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan tanah jajahan Inggeris di Borneo. Sekarang bahasa ini digunakan di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam. Bahasa Melayu Riau berkembang terus di daerah Hindia Timur Belanda dan akhirnya menjadi bahasa Indonesia.
Bab 2 Bahasa dan Fenomena Bahasa
Penjelasan yang diberikan di atas menunjukkan bahawa definisi bahasa yang diberikan oleh ahli-ahli bahasa tersebut tidaklah muktamad. Hal ini bermakna definisi baharu bagi bahasa boleh sahaja berhasil memandangkan keperluan dan fungsi bahasa pada sesuatu zaman itu semakin bertambah. Namun demikian, dalam memberikan definisi tentang bahasa, kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa terdapat dua aspek bahasa yang boleh digunakan sebagai landasan untuk kita memahami makna sebenar bahasa. Dua aspek tersebut ialah bentuk bahasa dan fungsi bahasa. Bentuk bahasa ialah cara bahasa itu distrukturkan yang bermula dari paras paling bawah sehingga ke paras paling atas, iaitu fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana. Fungsi bahasa bermaksud peranan bahasa dalam masyarakat, iaitu untuk tujuan komunikasi atau untuk tujuan-tujuan lain.
Dari segi ciri bahasa yang disenaraikan, menunjukkan bahawa bahasa mempunyai sifat semula jadi sama seperti manusia yang juga mempunyai ciri peribadi yang diwarisinya daripada orang tuanya. Sebagai contoh, kita mewarisi warna rambut, mata, kulit, kumpulan darah dan sebagainya daripada ibu bapa kita. Jika ini dianalogikan kepada sifat bahasa, makna ciri bahasa seperti sistem, simbol,arbitrari, unik dan lain-lain itu merupakan sifat asal bahasa yang telah dimilikinya sejak lama dahulu. Sifat-sifat tersebut boleh dikatakan sebagai sifat universal bagi semua bahasa dan bukan khusus bagi bahasa Melayu sahaja. Misalnya, ciri bahasa sebagai alat komunikasi memang terdapat pada semua bahasa di dunia ini kerana ia merupakan asas kepada kewujudan bahasa itu sendiri.
Lima fungsi bahasa yang dibincangkan dalam bab ini khusus merujuk kepada bahasa Melayu. Dengan kata lain, bahasa Melayu yang telah diiktiraf dalam perlembagaan itu mempunyai lima fungsi, iaitu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa pengantar dan bahasa perpaduan. Namun demikian, fungsi umum sesuatu bahasa itu berbeza daripada lima fungsi formal tersebut. Sebagai contoh, fungsi bahasa mengikut Wallwork (1969), terbahagi kepada lapan perkara, iaitu bahasa berfungsi sebagai alat sapaan, alat keagamaan, alat bertindak, alat penyimpanan rekod, alat penyampaian perintah dan keterangan, alat untuk mempengaruhi orang lain, alat menyatakan hasrat hati dan alat percambahan minda.
Bab 3 Fonetik dan Fonologi
Fonetik dan fenologi merupakan dua perkara yang berbeza. Fonetik berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang-lambang yang menunjukkan sebutannya, manakala fenologi mengkaji sistem bunyi bahasa pada aras yang lebih tinggi daripada fonetik, iaitu cara bunyi-bunyi bahasa dihasilkan dan dideskripsikan serta cara bunyi-bunyi tersebut berhubung antara satu sama lain.
Kajian fonetik dan fenologi melibatkan organ tutur manusia secara langsung. Organ tutur manusia ini disebut alat artikulasi atau artikulator. Terdapat banyak alat artikulasi manusia dan setiap satunya mempunyai kedudukan dan fungsi yang berbeza dalam menghasilkan bunyi bahasa. Namun demikian, terdapat unsur yang bukan dikategorikan sebagai alat artikulasi manusia, tetapi amat berperanan dalam menghasilkan bunyi bahasa. Unsur tersebut ialah udara dan merupakan sumber tenaga utama dalam penghasilan bunyi bahasa. Udara disedut kedalam paru-paru dan dihembus keluar bersama-sama sewaktu kita sedang bernafas. Udara yang dihembuskan itu kemudian mendapat halangan di berbagai-bagai tempat alat artikulasi dengan berbagai-bagai cara hingga terhasillah bunyi-bunyi bahasa.
Bunyi bahasa pula ialah kesan yang didengar oleh telinga. Proses penghasilan bunyi bahasa berlaku apabila udara dari paru-paru keluar melalui pita suara ke rongga tekak, kemudian terus keluar ke rongga hidung atau rongga mulut. Semasa udara keluar melalui rongga tekak dan rongga mulut atau hidung, udara mungkin mengalami gangguan atau sekatan atau mungkin tidak. Udara yang keluar adalah dalam bentuk gelombang dan apabila mengenai bahagian gegendang maka terhasillah bunyi.
Bunyi vokal, konsonan dan diftong merupakan bunyi-bunyi bahasa, manakala bunyi batuk dan siulan, misalnya bukanlah bunyi bahasa walaupun dihasilkan oleh alat artikulasi. Semua bunyi vokal dan diftong merupakan bunyi-bunyi bersuara, manakala bunyi konsonan ada yang bersuara dan ada yang tidak. Bunyi bersuara dan tidak bersuara ini ada kaitan dengan keadaan pita suara. Jika keadaan pita suara (glotis) tertutup rapat sewaktu udara keluar melaluinya, maka berlakulah getaran pada pita suara dan bunyi yang terhasil ialah bunyi bersuara. Sebaliknya, jika pita suara itu direnggangkan atau terbuka sewaktu udara keluar melaluinya, maka getaran pada pita suara tidak berlaku, maka bunyi yang dihasilkan ialah bunyi tidak bersuara.
Suprasegmental yang juga disebut fonem suprasegmental merupakan ciri atau sifat bunyi yang menindih atau menumpang kepada sesuatu fonem. Hal ini bermakna ciri suprasegmental hadir bersama-sama fonem penggalan dengan cara menumpang bunyi segmental. Fonem suprasegmental ini bukannya bunyi segmental atau bunyi penggalan tetapi ciri yang hadir bersama dengan cara menindih atau menumpang kepada bunyi penggalan, misalnya tekanan, jeda, kepanjangan dan intonasi.
Bab 4 Morfologi
Bab ini telah menghuraikan berbagai-bagai aspek penting berkaitan morfologi bahasa Melayu. Morfologi merupakan aspek penting dalam tatabahasa dan tatabahasa pula ialah perkara asas bagi sesuatu bahasa. Morfologi ini memfokuskan kajian terhadap perkataan dalam bahasa Melayu yang telah menunjukkan perubahan dan perkembangan yang pesat, terutama dalam bidang kosa kata dan yang melibatkan perubahan bentuk-bentuk kata. Bab ini turut menerangkan struktur binaan kata tunggal yang terdiri daripada gabungan huruf konsonan dan vokal. Selain itu, dijelaskan peraturan penggabungan morfem bagi menghasilkan kata terbitan, peraturan penulisan kata majmuk, bentuk-bentuk kata ganda dalam bahasa Melayu dan kaedah bagi menerbitkan kata akronim. Dari segi golongan kata pula, dihuraikan tiga jenis golongan kata utama bahasa Melayu, iaitu kata nama, kata kerja dan kata adjektif, manakala perkataan-perkataan yang tidak tergolong dalam tiga kategori ini dinamakan kata tugas, iaitu perkataan yang mendukung fungsi atau tugas tertentu dalam binaan ayat.
Bab 5 Sintaksis
Penelitian terhadap sintaksis dalam bab ini bukan sahaja melibatkan jenis dan ragam ayat, tetapi juga rumus pembinaan unsur subjek dan predikat sebagai penentu pembentukan sesuatu ayat. Selain itu, terdapat ciri-ciri lain yang dipertimbangkan dalam pembinaan ayat, iaitu aspek tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat. Tatatingkat sintaksis bermula daripada frasa, klausa dan seterusnya ayat. Ayat-ayat pula menjadi sempurna hanya jika ayat terdiri daripada subjek dan predikat. Dalam jenis ayat tertentu, misalnya ayat perintah, subjek ayat lazimnya tidak dinyatakan kerana ayat-ayat sedemikian berfokus kepada predikat ayat. Predikat bagi pola ayat biasa bahasa Melayu boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Setiap frasa tersebut dinamakan sedemikian kerana unsur inti bagi frasa itu terdiri daripada, sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata sendi nama dengan frasa nama sebagai subjek. Dari segi jenis ayat pula, terdapat empat jenis ayat dalam bahasa Melayu, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan. Jenis-jenis ayat ini dapat dikenal pasti melalui intonasi ayat tersebut apabila diujarkan.
Bab 6 Sistem Ejaan Rumi
Sistem Ejaan Rumi Baharu telah berjaya menyeragamkan ejaan bahasa Melayu dan mengangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sistem ejaan ini lebih teratur, terutama dari segi keselarasan huruf vokal, aturan pengejaan bagi kata pinjaman daripada bahasa asing dan pengejaan istilah khusus telah dinyatakan dengan jelas. Pengurangan penggunaan lambang seperti tanda sempang dan angka dua merupakan ciri-ciri ekonomis dalam ejaan baharu ini. Selain itu, aturan yang berlandaskan prinsip keterlenturan dalam ejaan baharu ini termasuklah penerimaan fonem asing satu distribusi baharu bagi fonem tertentu. Penerimaan unsur ini telah menjadikan ejaan baharu bahasa Melayu bersifat efisien dan terbuka untuk memudahkan proses pengembangan. Namun demikian, penyelidikan dan penelitian perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengadakan kodifikasi dan penyelarasan semula mana-mana aspek ejaan tertentu agar sesuai dengan keperluan perkembangan ilmu, kemajuan linguistic dan bidang-bidang ilmu yang berkaitan serta perkembangan bahasa secara keseluruhannya.
Bab 7 Komunikasi Bertulis
Pada umumnya, sesebuah teks bertulis berbentuk esei dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu bahagian pendahuluan, bahagian isi dan bahagian penutup. Bahagian pendahuluan memperkenalkan isu, tajuk atau tema secara eksplisit. Bahagian ini perlu menarik untuk merangsang minat dan perhatian khalayak kepada maklumat yang akan dinyatakan selanjutnya. Pendahuluan juga hendaklah dapat memberikan gambaran tentang mesej yang akan diperkatakan. Bahagian isi merupakan bahagian yang mengambil ruang yang lebih luas kerana ia memperkembangkan dan memperkatakan tajuk atau tema teks. Dalam bahagian ini penulis mengemukakan segala fakta, pandangan, ulasan, pendapat idea dan hujah yang berhubung dengan topik atau konteks teks. Ia menjadi fokus teks dan memperlihatkan keupayaan dan kekurangan yang dimiliki oleh penulis. Dalam bahagian penutup, penulis akan merumuskan dan menyimpulkan segala isi yang telah dipersembahkan dalam bahagian sebelumnya. Teknik yang digunakan oleh penulis bagi menyimpulkan dan merumuskan penulisannya bergantung pada jenis teks.
Bab 8 Kesusasteraan, Kebudayaan dan Kesenian Melayu
Kesusasteraan, Kebudayaan dan kesenian Melayu secara umumnya telah dipengaruhi oleh beberapa unsur kepercayaan. Pada zaman terawal, Kesusasteraan, Kebudayaan dan Kesenian Melayu dipengaruhi oleh unsur animisme. Namun demikian amat sukar untuk melihat sistem hidup dalam masyarakat Melayu animisme ini. Bukti dan kesan sistem kehidupan mereka hanya dapat dikesan berdasarkan hasil-hasil sastera lisan, iaitu cerita-cerita lisan yang dapat mencerminkan pandangan hidup dan sistem kehidupan mereka. Pada tahap kedua, Kesusasteraan, Kebudayaan dan Kesenian Melayu dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu. Unsur-unsur Hindu telah menyerap dalam sistem pemerintahan dan Kerajaan Melayu Melaka secara meluas, iaitu sebelum kedatangan Islam ke alam Melayu. Pengaruh Hindu kukuh dalam semua perkara yang berkaitan sistem hidup seharian dan pentadbiran pada masa itu. Malah, saki-baki pengaruh Hindu masih terdapat dalam beberapa aspek amalan budaya Melayu pada hari ini. Tahap akhir ialah pengaruh Islam yang mengambil tempat dan berkembang dengan pantas bagi menggantikan unsur Hindu dalam Kesusasteraan, Kebudayaan dan Kesenian Melayu. Peradaban dan keintelektualan Islam telah melimpah-ruah ke pangkuan masyarakat Melayu. Pada hari ini, nilai Islam dalam Kesusasteraan, Kebudayaan dan Kesenian Melayu mempunyai hubungan yang sangat rapat seperti kata pepatah ‘bagai isi dengan kuku’.
Bab 9 Sistem Ejaan Jawi
Tulisan Jawi merupakan sistem tulisan orang-orang Melayu sejak zaman-berzaman. Berbagai-bagai langkah telah diambil dan perancangan dibuat sebelum ini bagi mendaulatkan tulisan ini agar dapat diterima oleh semua masyarakat. Dalam usaha mengangkat martabat tulisan ini, sikap mementingkan setengah-setengah pihak atau individu tertentu perlulah dihindari. Kompromi antara pakar bahasa, para pengkaji bahasa dan pihak pelaksana juga perlu agar semua pihak, terutama para pengguna bersetuju dan dapat menggunakan SEJ yang sama dan seragam serta tanpa sebarang kekeliruan. Kita berharap agar usaha untuk menaikkan taraf ejaan Jawi setanding dengan ejaan Rumi akan diteruskan oleh para pejuang bahasa. Sejarah sebelum ini membuktikan bahawa tulisan Jawi mampu menjadi medium penulisan yang meluas digunakan pada masa dahulu. Justeru, tidak mustahil tulisan ini masih mampu untuk mengungkapkan pelbagai bidang ilmu. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran perlu melaksanakan langkah-langkah yang proaktif untuk menggalakkan penggunaan tulisan Jawi pada peringkat sekolah dan institusi perguruan. Sebagai individu dan masyarakat pengguna bahasa, kita sendiri perlu mempelajari tulisan Jawi supaya kita tidak disebut sebagai ‘buta Jawi’. Diharapkan tulisan Jawi terus tersebar luas dan mantap digunakan di negara kita ini.
Bab 10 Sosiolinguistik
Dalam kajian sosiolinguistik banyak perkara boleh diperkatakan, iaitu hal-hal yang ada kaitan dengan bahasa itu sendiri. Antaranya ialah dialek, laras bahasa, bahasa baku, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan kepelbagaian bahasa. Ahli sosiolinguistik juga mengkaji tingkah laku sosial yang ada hubungan dengan bahasa seperti penggunaan gelaran dan panggilan hormat kepada individu tertentu. Demikian juga penggunaan bahasa halus atau bahasa istana yang hanya digunakan oleh kumpulan tertentu dalam masyarakat.
Secara lebih luas, sosiolinguistik mengkaji seluruh aspek kehidupan manusia termasuk nilai-nilai budaya dan konteks bahasa digunakan oleh masyarakat yang menuturkannya. Oleh sebab berlaku mobiliti masyarakat dari satu tempat ke tempat yang lain, maka berlakulah penyebaran bahasa yang diujarkan dengan berbagai-bagai gaya oleh masyarakat di tempat yang baharu. Keadaan ini melahirkan dialek, kepelbagaian bahasa dan laras bahasa tertentu.
Bab 11 Kemahiran Berbahasa
Kemahiran berbahasa merupakan perkara penting yang perlu dikuasai oleh setiap orang. Hal ini kerana ia melibatkan kemahiran-kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis yang merupakan inti pati dalam penguasaan sesuatu bahasa. Tanggungjawab mendidik murid untuk memperoleh dan menguasai kemahiran berbahasa tidak harus diletakkan pada guru semata-mata, malahan ibu bapa dan keluarga juga perlu memainkan peranan mereka. Pada peringkat awal, iaitu sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan, peranan ibu bapa sangat penting. Ibu bapa perlu mewujudkan suasana yang mendorong anak mereka menguasai kemahiran berbahasa. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak mereka ke pameran buku, perpustakaan atau membelikan buku-buku yang murah bagi menggalakkan anak mereka berjinak-jinak dengan buku dan seterusnya menimbulkan keinginan untuk membaca.
Tugas tersebut akan disambung oleh guru di sekolah. Guru akan merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah bagi membolehkan murid menguasai kesemua kemahiran bahasa tersebut. Pada peringkat ini, murid perlu digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti, sama ada mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Dalam satu sesi pengajaran, guru perlu menetapkan sasaran kemahiran yang menjadi fokus utama. Kemudian guru perlu menetapkan tajuk dan merancang aktiviti yang berkaitan dengannya. Di samping itu, guru perlu mengenal pasti aspek kelemahan setiap murid agar program pemulihan dapat dilakukan.
Bab 12 Kesusasteraan Melayu
Kesusasteraan Melayu terbahagi kepada dua tahap penting, iaitu Kesusasteraan Melayu tradisional dan Kesusasteraan Melayu moden. Bab ini membincangkan sedikit sahaja Kesusasteraan Melayu tradisional yang terdiri daripada genre pantun, syair, gurindam, seloka dan nazam. Kesemua genre ini merupakan genre puisi, iaitu merujuk kepada karangan berangkap. Pantun biar pun telah wujud sejak zaman-berzaman dalam kalangan masyarakat Melayu, tetapi masih merupakan genre sastera yang produktif hingga sekarang. Hal ini bermakna, pantun-pantun baharu telah dicipta oleh masyarakat pada hari ini, di samping mengekalkan pantun-pantun lama yang sedia ada. Bagi menggalakkan generasi muda menghargai karya sastera ini, pertandingan pantun dan persembahan berbalas pantun juga turut diadakan di sekolah atau pusat pengajian tinggi. Genre syair, gurindam, seloka dan nazam pula merupakan karya yang tidak begitu ketara jumlah ciptaannya.
Bab ini telah membincangkan genre prosa dan puisi moden yang terdiri daripada genre novel, cerpen dan sajak secara lebih mendalam. Novel dan cerpen pada umumnya mempunyai persamaan ciri, iaitu dari segi struktur dalaman yang membina karya tersebut. Hal ini bermakna unsur-unsur yang terdapat dalam novel seperti plot, tema dan persoalan, watak dan perwatakan, latar, gaya bahasa dan sudut pandangan juga terdapat dalam cerpen. Kesemua unsur itu dibincangkan satu per satu bagi meningkatkan pemahaman pembaca terhadap konsep tersebut. Unsur tersebut juga digunakan bagi mengkaji kedua-dua genre ini secara umum menggunakan pendekatan struktural. Bagi genre sajak pula, analisis struktur turut dilakukan dengan memberikan penekanan pada bentuk dan unsur-unsur yang lazim terdapat dalam sajak seperti tema, mesej, nada, personifikasi, imejan, hiperbola, ironi, asonansi, aliterasi, alusi, metonimi dan sinekdoki. Kesemua unsur ini diterangkan dengan mantap dan disertai contoh-contoh sajak yang berkaitan.
Kritikan dan teori kritikan sastera pula merupakan bahagian yang bersifat agak ilmiah kerana merupakan fakta penting, idea, konsep, prinsip dan falsafah tentang tajuk tersebut. Bahagian ini menghuraikan empat teori kritikan sastera yang agak dominan daripada lebih 20 teori yang terdapat pada hari ini, iaitu teori formalisme, strukturalisme, feminisme dan sosiologi. Walau bagaimanapun, pendekatan struktural yang lahir hasil daripada teori formalisme dan strukturalisme dianggap paling sesuai dan sering digunakan dalam menganalisis karya-karya sastera.
Karya sastera banyak mengandungi unsur estetika, justeru sesuai diajarkan kepada semua pelajar dalam sistem pendidikan di negara ini. Ia boleh menimbulkan rasa kebersamaan bahasa dan kebudayaan. Bahasa Melayu pula adalah bahasa pengucapan dalam karya-karya sastera dan terdapat usaha pengarang untuk mengangkat kebudayaan watak-watak yang mewakili bangsanya. Hal ini dapat dimanfaatkan untuk kepentingan bangsa dan negara dengan cara menjadikan kesusasteraan sebagai sebahagian daripada kurikulum pendidikan. Oleh itu, pihak Kementerian Pelajaran perlu mengaji semula falsafah dan matlamat pendidikan sastera di sekolah, kaedah pengajaran, bahan yang digunakan, proses penghayatan sastera dan cara menilai kebolehan pelajar dalam kesusasteraan Melayu. Hal in kerana pendidikan merupakan satu proses yang berkesan bagi mengenali, mempelajari dan menghayati kesusasteraan Malaysia.
Bab 13 Semantik
Memilih kata yang sesuai digunakan dalam perbualan bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu, pilihan kata atau diksi perlulah sesuai dengan konteks. Dalam hal ini ilmu semantik amat berguna bagi membantu penutur memilih kata dan ayat yang betul dalam perbualan. Kita kadangkala memilih untuk menggunakan konotasi dibandingkan dengan menggunakan denotasi. Namun demikian, jika kata itu mengandungi konotasi yang salah, ia boleh menyebabkan kesalah fahaman atau kesalah tanggapan pada pihak pendengar.
Ada kata yang dianggap sopan dan ada kata yang dianggap kasar, malah ada kata tertentu yang dianggap salah jika digunakan oleh orang-orang tertentu. Kata ‘mengandung’,’hamil’ dan ‘bunting’ mempunyai nilai emotif dan digunakan pada orang yang tertentu. Demikian juga jika kita berkata “Diam! Jangan bising!”bermakna orang yang kita hadapi itu mempunyai status yang sama atau lebih rendah daripada kita. Sebaliknya, jika kita berkata “Tuan-tuan dan puan-puan diminta bertenang” bermakna orang yang kita hadapi itu dianggap sedarjat tingkat sosialnya.
Bab ini telah menjelaskan makna dari sudut linguistik, iaitu makna kata, frasa dan ayat yang masing-masing mempunyai makna yang berbeza-beza. Suatu kata dengan sendirinya mempunyai makna seperti kata ‘teruna’ yang mempunyai ciri semantik tersendiri kerana ia merujuk kepada suatu konsep yang abstrak. Frasa ‘teruna tampan itu’ pula tentunya berbeza daripada makna kata ‘teruna’ secara individu kerana ia melibatkan hubungan antara kata yang disusun mengikut peraturan tertentu. Demikian pula ayat ‘musa ialah teruna tampan itu’ mengandungi makna bagi seluruh ayat, di samping terangkum pernyataan, sama ada ayat itu benar atau palsu.
Seterusnya, dijelaskan bagaimana sesuatu kata, frasa dan ayat itu memperoleh makna kerana ilmu semantik mempunyai hubungan langsung dengan makna kata, frasa dan ayat. Justeru, dihuraikan secara khusus hubungan makna dengan kata yang disebut sebagai sinonimi, antonimi, homonimi dan hiponimi. Seterusnya, hubungan makna ayat yang dinamakan parafrasa, syarat benar, rangkuman dan percanggahan. Penjelasan aspek semantik dalam bab ini dapat membantu penutur memilih kata, frasa atau ayat secara lebih spesifik dalam perbualan.
Satu aspek penting yang kurang dibincangkan oleh pengkaji bahasa ialah hubungan semantik dengan makna penutur dan makna ujaran. Kajian sedemikian sebenarnya melampaui batas semantik formal yang hanya mengkaji makna pada aras kata dan ayat. Justeru, pada bahagian akhir bab ini dijelaskan perspektif semantik yang lebih tinggi daripada kata dan ayat, iaitu yang melihat makna penutur atau makna ujaran. Makna ujaran penutur hanya dapat diketahui dengan bantuan konteks pertuturan itu diujarkan.
Bab 14 Wacana
Bab ini telah dimulakan dengan memberikan perspektif umum tentang wacana. Wacana merupakan bidang kajian yang amat luas dan telah dikaji oleh banyak ahli bahasa di banyak negara. Wacana yang dihuraikan dalam buku ini menggunakan pendekatan deskriptif dan tidak bersifat analitikal. Deskriptif wacana ini berfokus kepada wacana sebagai peristiwa komunikatif atau interaksi verba, iaitu wacana seperti yang sebenarnya dikata atau ditulis.
Dalam tajuk yang berkaitan dengan sejarah wacana, penulis mengetengahkan tiga aspek, iaitu tatabahasa wacana bahasa Melayu, tatabahasa wacana mega dan manfaat tatabahasa wacana. Penulis memperoleh sumber tersebut daripada Sanat Md. Nasir (1996). Berdasarkan kajian beliau itu didapati penerokaan bidang wacana di negara ini boleh dikatakan belum begitu meluas. Malah, buku Tatabahasa Dewan edisi terkini menyentuh aspek wacana hanya dalam beberapa halaman sahaja. Penjelasan tentang tatabahasa wacana serta manfaatnya pula memperlihatkan bahawa tatabahasa ini berbeza sama sekali daripada tatabahasa biasa yang bersifat formal, terutamanya dari segi memerihalkan ayat dan teks. Tatabahasa wacana menekankan aspek teks dan konteks dalam pendeskripsian dan penganalisisannya.
Tajuk tentang ciri dan penanda wacana pula dipetik daripada buku Tatabahasa Dewan (2008). Ciri wacana berfokus kepada konsep kohesi dan koheren, manakala penanda wacana pula dikategorikan kepada beberapa jenis. Walau bagaimanapun, dalam buku ini konsep bagi kedua-dua aspek tersebut diberikan perspektif yang berbeza.
Aspek tautan telah diberikan huraian yang terperinci dari segi penjenisan dan contoh yang disertakan. Contoh tersebut merupakan bentuk penggunaan bahasa dalam konteks sebenar yang juga disebutkan sebagai teks. Hal ini dapat memenuhi ciri analisis wacana yang menghendaki data pengguna bahasa dalam interaksi sosial. Wacana diperlihatkan dalam bentuk ayat atau teks yang berstruktur. Teks dalam bentuk sedemikian dapat menjelaskan pelbagai konsep tautan dalam konteks yang bermakna. Hal ini berbeza dengan konsep runtutan yang merujuk kepada dalaman teks. Runtutan berfokus kepada kesinambungan makna antara teks.
Huraian tentang wacana dan teks menunjukkan bahawa kedua-duanya berkongsi sifat dan ciri yang sama, dengan kata lain teks juga merujuk kepada konsep wacana. Tajuk ini diperincikan dari segi sejauh mana wacana dan teks dikatakan bersamaan bentuk. Seterusnya, dibincangkan pula aspek berhubung wacana dan analisis wacana. Secara umumnya, teks mempunyai pelbagai dimensi makna, iaitu boleh mempunyai beberapa makna dalam satu-satu masa. Makna ini penting dalam menganalisis aspek runtunan teks. Untuk mengetahui, sama ada sesuatu teks itu bermakna atau beruntutan adalah dengan melihat penggunaan unsur tautan, makna, koteks dan konteks. Hal ini kerana dimensi sedemikian dapat memberikan kesan terhadap makna teks.
Bab 15 Psikolinguistik
Bab ini dimulakan dengan membekalkan pengetahuan umum tentang bidang psikolinguistik. Bidang ini melibatkan teori bagaimana bahasa beroperasi dalam minda manusia, bagaimana kita menghubungkan makna dengan bunyi bahasa dan bagaimana kita menggunakan sintaksis. Kemudian perbincangan diikuti dengan memberikan takrif dan konsep bidang-bidang yang relevan dengan psikolinguistik, iaitu linguistik, psikologi dan psikolinguistik itu sendiri. Psikolinguistik merupakan bidang antara prinsip yang menggabungkan kajian yang berkaitan dengan psikologi dan linguistik. Walau bagaimanapun, secara berasingan psikologi dan linguistik mendukung konsep yang berbeza. Linguistik merupakan bidang kajian bahasa yang menjelaskan bagaimana bahasa digunakan secara praktikal. Psikologi pula merupakan kajian saintifik tentang proses mental dan tingkah laku. Gabungan kedua-dua bidang kajian itu menghasilkan istilah psikolinguistik yang juga dikenali sebagai psikologi bahasa.
Tajuk yang berhubung dengan teori bahasa pula mengetengahkan empat jenis aliran teori, iaitu aliran tradisional yang melahirkan tatabahasa tradisional, aliran struktural yang melahirkan tatabahasa struktural, aliran transformasi yang melahirkan tatabahasa transformasi generatif dan aliran pragmatik. Aliran pragmatik berbeza daripada ketiga-tiga aliran tersebut kerana aliran ini melampaui aras tatabahasa formal. Aliran ini dikatakan sedemikian kerana ia tidak menganalisis ayat-ayat rekaan seperti yang dilakukan oleh ketiga-tiga aliran itu. Aliran ini juga tidak mendeskripsikan ayat dengan berdasarkan distribusi seperti subjek, predikat, objek atau menentukan golongan kata seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata sendi nama dan kata tugas. Aliran pragmatik menganalisis ujaran sebenar, iaitu ujaran yang dilafazkan oleh penutur dalam konteks sebenar. Tegasnya, aliran ini menganalisis dan mendeskripsikan penggunaan bahasa sebagaimana yang diujarkan oleh penuturnya dan mementingkan peranan konteks. Melalui penelitian konteks interpretasi ujaran dapat dilakukan bagi menanggapi makna penutur secara jelas.
Selanjutnya dijelaskan dua fahaman utama yang mendasari teori pemerolehan bahasa, iaitu fahaman behavioris dan fahaman kognitif. Bagi fahaman behavioris, diketengahkan tiga teori yang berkaitan, iaitu teori pelaziman klasik, teori pelaziman instrumen dan teori pelaziman operan. Fahaman behavioris berfokus kepada tingkah laku yang merujuk kepada aksi atau reaksi dalam bentuk gerak balas hasil daripada rangsangan dalaman atau luaran. Gerak balas yang dilakukan oleh organisma berlaku secara alamiah dan bertujuan untuk kelangsungan hidup mereka. Rangsangan pula merupakan sebarang fenomena yang secara langsung dapat mempengaruhi aksi dan reaksi organisma tersebut.
Teori pelaziman klasik diperkenalkan oleh Ivan Pavlov, iaitu seorang ahli fisiologi, psikologi dan fizik berbangsa Rusia. Contoh paling terkenal bagi pelaziman klasik melibatkan pelaziman air liur pada anjing kajian Pavlov. Teori pelaziman klasik memandang bahasa sebagai satu aktiviti fizikal semata-mata dan menekankan rangsangan untuk kanak-kanak memperoleh bahasa. Teori pelaziman instrumen dikaji secara meluas oleh Thorndike yang merupakan ahli psikologi Amerika dan dikenali sebagai bapa psikologi pembelajaran moden. Thorndike membuat uji kaji terhadap kucing bagi melihat tingkah laku kucing yang cuba melepaskan diri dari kurungan. Dengan berdasarkan teori ini, pemerolehan bahasa dalam kalangan kanak-kanak dikatakan berlaku sedikit demi sedikit dengan mengaplikasikan konsep celik akal dan hukum kesan secara bersama-sama. Teori pelaziman operan pula diperluas dan dikonsepsikan semula oleh Skinner yang merupakan ahli psikologi Amerika. Skinner telah melakukan uji kaji terhadap tikus dan burung merpati. Skinner mengatakan analisis tingkah laku manusia tidak mengaitkan pemerolehan bahasa, tetapi hubungan antara bahasa dengan tingkah laku yang nyata. Dalam pembelajaran bahasa beliau menyarankan agar kanak-kanak diberikan peneguhan positif secara kerap berbanding dengan peneguhan negatif. Dengan cara ini, mereka akan lebih cepat memperoleh bahasa.
Teori kognitif mempunyai sudut pandangan yang berbeza daripada teori behavioris. Dalam menganalisis tingkah laku, ahli teori kognitif melangkaui had yang dikaji oleh ahli behavioris. Mereka menyertakan struktur dan proses mental dalam proses pemerolehan bahasa. Fokus asas dalam kajian dan penyelidikan ahli teori ini menekankan proses dalaman dan menyimpulkan proses struktur melalui pemerhatian terhadap tingkah laku. Mereka berpendapat bahasa boleh dipindahkan daripada luar pemikiran ke dalam pemikiran itu sendiri. Ahli teori ini juga berminat untuk menyelidiki mekanisme dalaman pemikiran atau otak dan proses kanak-kanak memperoleh bahasa. Mereka cuba mencari jawapan apa yang ada dalam minda dan bagaimana kanak-kanak memperoleh bahasa. Teori kognitif telah mengetengahkan uji kaji yang dilakukan oleh Kohler. Kohler, ahli psikologi Jerman mengaplikasikan prinsip gestalt yang berhubung kait dengan minda. Kohler melakukan uji kaji terhadap cimpanzi yang bernama Sutan. Kohler berpendapat cimpanzi belajar melalui celik akal seperti manusia dan bukan melalui rangsangan gerak balas seperti pendapat Thorndike. Pemerolehan bahasa pula melibatkan proses mental dan gabungan pelbagai elemen yang terdapat di persekitaran yang seterusnya akan distrukturkan bagi mencapai ,matlamat itu.
Piaget pula telah memperkenalkan teori perkembangan kognitif yang mengatakan kanak-kanak matang melalui empat kemampuan kognitif. Piaget membuat hipotesis kanak-kanak tidak berkebolehan berfikir secara logik abstrak sehingga mereka membesar pada umur kira-kira 11 tahun. Oleh itu, kanak-kanak perlu diajar untuk menggunakan objek konkrit dan contoh-contoh. Ahli kognitif berpendapat peralihan, misalnya daripada pemikiran konkrit kepada logik abstrak tidak berlaku pada masa yang sama dalam semua domain. Sebagai contoh, kanak-kanak mungkin mampu berfikiran abstrak tentang matematik, tetapi kekal terhad dalam pemikiran konkrit tentang hubungan manusia. Sumbangan Piaget yang bermakna ialah penemuannya bahawa manusia mengkonstruk secara aktif pemahaman mereka melalui proses pengaturan kendiri.
Tajuk tentang pemerolehan bahasa pula menerangkan proses yang membolehkan manusia menguasai dan membina bahasa. Bayi yang sihat dikatakan memperoleh bahasa dengan mudah pada tahun pertama dalam hidup mereka. Tajuk ini menghuraikan pemerolehan bahasa pertama dan pemerolehan bahasa kedua. Kemampuan kanak-kanak untuk membentuk peraturan yang kompleks dan menstrukturkan tatabahasa bahasa yang digunakan di sekeliling mereka dapat dilakukan dalam masa singkat merupakan fenomena yang luar biasa. Persamaan tahap pemerolehan bahasa dalam kalangan manusia dan bahasa yang pelbagai menunjukkan kanak-kanak dilengkapi dengan kemampuan istimewa untuk mengetahui generalisasi yang mana perlu dilakukan dan yang mana perlu diabaikan serta bagaimana mendapatkan ketetapan bahasa. Kanak-kanak belajar bahasa seperti cara mereka belajar duduk, merangkak dan berdiri. Mereka tidak berfikir untuk melakukan semua itu malah semua kanak-kanak normal mula melakukan hal sedemikian pada tahap umur yang hampir sama.
No comments:
Post a Comment